KPM guna kaedah KMP untuk pengambilan guru ’one-off’

0
373

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan kaedah Kluster Mata Pelajaran (KMP) dalam pengambilan guru secara ‘one-off’ bagi memastikan tiada lambakan graduan mengambil Ikhtisas Pendidikan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, langkah diperkenalkan itu bakal memberi peluang lebih luas kepada graduan untuk memohon berdasarkan pemetaan ijazah sarjana muda yang bersesuaian.

“Graduan yang memiliki bidang pengkhususan utama tertentu boleh memohon untuk mengisi kekosongan mata pelajaran lain yang dikategorikan dalam kluster sama.

“Pendekatan kita gunakan untuk pertama kali ini akan digunakan untuk pengambilan akan datang juga,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang ingin tahu apakah nasib graduan pendidikan keluaran universiti yang masih tiada peluang ditempatkan mengajar di sekolah.

Pada masa sama, Radzi memaklumkan seramai 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara ‘one-off’ telah dilantik dalam pengambilan khas bagi mengisi kekosongan guru di sekolah KPM di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

“Sehingga 28 Mac lalu pula, seramai 13,255 guru baharu berjaya ditempatkan ke seluruh negara, manakala baki 515 lagi akan ditempatkan mulai 11 April ini.

“Berdasarkan status terkini, terdapat 4,932 kekosongan jawatan di bawah pengambilan khas ini yang perlu diisi calon layak,” katanya menjawab soalan asal Iskandar Dzulkarnain yang meminta KPM menyatakan apakah status pelantikan guru secara ‘one-off’ yang diumumkan kerajaan. 

Dalam pada itu, KPM mendapati terdapat kekurangan bilangan graduan mempunyai Ikhtisas Pendidikan bagi subjek Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam untuk pengambilan guru. 

Bagaimanapun, Radzi berkata, KPM komited untuk berusaha mencari bekalan guru yang mempunyai Ikhtisas dua subjek kritikal berkenaan.

“Banyak senarai mata pelajaran tidak ada bekalan mencukupi dalam pasaran graduan, namun paling kritikal ialah mempunyai Ikhtisas pendidikan Bahasa Inggeris.

“Pendidikan Islam dalam konteks tertentu amat terhad bagi mereka yang mempunyai Ikhtisas dalam subjek itu,” katanya bagi menjawab soalan tambahan Senator Muhammad Zahid Md Arip yang ingin tahu apakah subjek kritikal dalam mengisi jawatan pengambilan guru.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here