Gagal lapor rasuah, pembantu penguatkuasa KPDNHEP didenda RM2,000

0
564

SEORANG pembantu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di Johor hari ini, kerana gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung suapan wang berjumlah RM700 yang diberikan kepadanya, tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhamad Basri Bonari, 43, yang berkhidmat di KPDNHEP Cawangan Muar, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan berkenaan sebaik kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada tiga anak itu menjalani hukuman penjara satu bulan, sekiranya dia gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.

Muhamad Basri didakwa sebagai penjawat awam Gred KP19 telah diberikan wang suapan oleh Phang Min Lee, 35, berjumlah RM700 agar tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Syarikat Khaw Tai Trading Sdn Bhd di kawasan stor syarikat berkenaan di Muar, pada 4.55 petang, 10 Mei 2021.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya SPRM Ikhwan Ihsan Jalaludin memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat memandangkan tindakannya boleh menjejaskan reputasi penjawat awam khususnya KPDNHEP.

Bagaimanapun, peguam Tan Song Yan yang mewakili Muhamad Basri merayu kepada mahkamah untuk tidak mengenakan hukuman penjara sebaliknya hukuman denda rendah atas alasan anak guamnya telah insaf, mengalami masalah jantung selain kini sedang menanggung isteri, tiga anak, ibu dan bapa serta ibu mentua.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here