Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Syarikat telekomunikasi digesa fokus pada kelompok luar bandar – Annuar Musa -

Syarikat telekomunikasi digesa fokus pada kelompok luar bandar – Annuar Musa

SYARIKAT telekomunikasi dalam negara digesa untuk turut fokus pada pembangunan capaian internet luar bandar yang dilihat masih berada di tahap rendah ketika ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, hal itu kerana kebanyakan syarikat telekomunikasi ketika ini hanya memberi fokus kepada kelompok dalam kawasan bandar sahaja.
Menurut beliau, perkara itu menyebabkan masih banyak kawasan luar bandar ketinggalan daripada segi pembangunan capaian internet.

“Syarikat telekomunikasi ini tidak boleh semata-mata berlumba-lumba memajukan tempat yang sudah maju untuk mengaut keuntungan.
“Bukan saya mahu mereka pergi ke kawasan yang memerlukan pelaburan besar tetapi tempat yang masih belum dinaiktaraf capaian internetnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam siaran langsung Program Lawatan Kerja Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Kampung Langkuas, Kinarut, Sabah, pada Isnin

Mengulas lanjut, Annuar berkata, syarikat telekomunikasi perlu membantu hasrat kerajaan memperluaskan produktiviti dan meningkatkan kualiti internet dalam negara.

Jelasnya, syarikat telekomunikasi dalam negara yang mempunyai keuntungan besar setiap tahun perlu mengambil inisiatif untuk membuat pelaburan semula dalam menaiktaraf kualiti internet sedia ada.

“Kita ingin melihat sikap proaktif syarikat telekomunikasi dan saya merayu kepada mereka untuk melihat kepada kawasan luar bandar serta kelompok-kelompok kampung terpencil.

“Ada alasan daripada syarikat telekomunikasi yang mereka memerlukan jumlah penduduk yang ramai untuk masuk ke sesuatu kawasan.

“Macam mana orang ramai nak masuk ke kawasan itu apabila capaian internet di tempat tersebut lemah? Jadi perlu ada usaha daripada syarikat telekomunikasi untuk menyediakan kemudahan internet ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kemudahan 5G, Annuar berkata, setakat ini kerajaan masih dalam proses untuk menyempurnakan capaian 4G di seluruh negara.

Jelas beliau, keutamaan kemudahan 5G adalah untuk sektor industri dan bukan hanya kepada pengguna biasa semata-mata.

“Pembangunan internet 5G ini perlu dilakukan secara berperingkat dan kita jangka mengambil masa selama tiga tahun. Kita boleh lihat apabila internet 3G dan 4G memerlukan masa hampir lapan tahun untuk dibangunkan.

“Bagi pengguna biasa, sebenarnya kemudahan 4G yang baik sudah mencukupi buat mereka,” katanya. – SB