Sultan Mizan dukacita nasib rakyat terkesan banjir 

SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan rasa dukacita terhadap nasib rakyat yang terkesan akibat pelbagai bencana alam terutamanya banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Baginda bertitah, bencana itu bagaimanapun merupakan ujian buat setiap manusia sebagai tanda kasih sayang Allah terhadap setiap hambanya.

“Hampir keseluruhan harta benda mereka rosak akibat banjir yang menimpa dan lebih memilukan ada mangsa banjir kehilangan orang tersayang. 

Marilah kita doakan agar mereka yang terkesan dikuatkan semangat dan tabah untuk menghadapi setiap dugaan yang mendatang,” titah baginda dalam perutusan sempena ketibaan Ramadan, pada Isnin.

Sementara itu, Tuanku Sultan mengingatkan rakyat agar tidak mensia-siakan Ramadan dengan perkara yang melalaikan dan menyeru rakyat supaya melipatgandakan amalan dengan rasa penuh pengharapan bagi mendapatkan keredaan Allah.

“Ramadan merupakan bulan yang sangat istimewa dan unggul kerana Allah mencurahkan pahala, memberi kerahmatan dan keampunan sepanjang Ramadan tanpa henti berbanding bulan-bulan lain.

“Masjid dan surau juga juga sudah dibenarkan untuk solat secara berjemaah… oleh itu marilah kita ambil peluang untuk mengimarahkan masjid dan surau dengan pelbagai aktiviti ibadah,” titah baginda.

Dalam perutusan tersebut baginda dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah mengambil kesempatan mengucapkan Ramadan karim kepada seluruh umat Islam di negeri ini. – SB