KADAR zakat fitrah di Selangor bagi Ramadan tahun ini ditetapkan pada kadar RM7 seorang, kekal seperti tahun sebelumnya.
Ketua Divisyen Kutipan, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Muhd. Fikri Naim Harun berkata, penetapan kadar zakat fitrah itu adalah berdasarkan kepada harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan masyarakat di Selangor.
Bagaimanapun, kata beliau, LZS amat menggalakkan golongan yang berkemampuan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri sendiri dan tanggungan.
Secara tidak langsung, Muhd. Fikri berkata, kita berpeluang melakukan kebaikan dalam meraih keberkatan bulan Ramadan.
“Kadar tersebut adalah sebanyak RM14 seorang bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi atau RM21.00 seorang bagi individu yang memakan beras basmathi/beras jepun/beras merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Selangor benar solat tanpa penjarakan, tarawih 20 rakaat
Mengulas lanjut, Muhd. Fikri berkata, galakan menunaikan zakat mengikut harga beras dimakan telah dilaksanakan LZS sejak tahun 2018 lagi.
Bagi memudahkan umat Islam di Selangor menunaikan zakat, Muhd. Fikri berkata, LZS juga telah menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian yang lebih pantas dan selamat melalui EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my; aplikasi Zakat Selangor; perbankan internet; MyEg dan Pos Online serta e-dompet GoPayz dan Boost.
Di samping itu, beliau berkata, LZS turut melantik seramai 2,745 ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Selangor sepanjang Ramadan tahun ini.
“Masyarakat Islam dinasihatkan agar membayar zakat fitrah hanya kepada amil dilantik LZS yang dibekalkan kad tauliah dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang berurusan,” jelas beliau. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.