Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Flandy Limpele tinggalkan skuad kebangsaan 1 April -

Flandy Limpele tinggalkan skuad kebangsaan 1 April

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan jurulatih beregu negara, Flandy Limpele bakal meninggalkan skuad kebangsaan berkuatkuasa 1 April ini.

Dalam kenyataannya pada Isnin, BAM memaklumkan segala usaha telah dilakukan dengan menawarkan kontrak baharu kepada pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Athens itu.

Bagaimanapun, menurut BAM, Flandy telah membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak bagi memulakan langkah baharu sebagai jurulatih.

“Usaha telah dilakukan untuk menawarkan kontrak baharu tetapi jurulatih berusia 48 tahun itu telah membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontraknya.

“BAM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Flandy atas dedikasi dan komitmennya, kami mendoakan kejayaan dalam kerjayanya pada masa hadapan,” kata BAM dalam kenyataan itu.

Flandy dalam kenyataan sama turut berterima kasih atas peluang yang diberikan BAM sepanjang dua tahun berkhidmat di Malaysia.

“Selepas membuat pertimbangan dan perbincangan teliti bersama Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky, saya rasa ini masa yang sesuai untuk berundur,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Rexy juga mengucapkan terima kasih kepada Flandy atas kerja keras dan sikap profesional selama dua tahun di badan induk badminton negara itu.

“Beliau telah meletakkan asas dalam beregu lelaki untuk kami bina dan telah memberi sumbangan kepada detik-detik manis yang tidak dapat dilupakan.

“Saya berbangga dengan kerja yang telah kami lakukan bersama dan berharap yang terbaik untuk Flandy dalam kerjayanya.

Rexy berkata, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memastikan prestasi skuad beregu lelaki negara terus ditingkatkan.

“Saya berjanji akan terus bekerja keras untuk memimpin skuad beregu ke tahap lebih tinggi,” kata Rexy.

Flandy, 48, yang memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik Athens bersama Eng Hian telah dilantik ke jawatan itu pada Mei 2020 mengambil alih tempat Paulus Firman yang ketika itu ditukarkan mengetuai skuad beregu campuran.

Beliau yang pernah berkelana ke Jepun dan India juga pernah menyertai tiga lagi Sukan Olimpik iaitu di Atlanta pada tahun 1996; Sydney (2000) dan Beijing pada tahun 2008.

Kejayaan terbesar Flandy di BAM adalah mendidik gandingan beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sehingga berjaya merangkul pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020, tahun lalu. – SB