[VIDEO] 15 samun kedai komputer guna kayu besbol

SEBUAH kedai peralatan komputer disamun sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu besbol dalam satu kejadian di Bandar Damai Perdana, Cheras, pada Jumaat lalu.

Dua rakaman video kejadian yang turut tular di platform media sosial, memaparkan sekumpulan lelaki menaiki sebuah van putih menyamun kedai berkenaan sementera beberapa orang daripada mereka mengawasi kawasan sekeliling.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan daripada penawal keselamatan premis terbabit sekitar jam 9.35 pagi kelmarin.

Katanya, pengadu mendakwa sedang bekerja di premis berkenaan apabila diserang sekumpulan lelaki dianggarkan seramai 15 orang menggunakan kayu besbol.

“Suspek kemudian memecah masuk ke dalam premis dan melarikan peralatan komputer di tingkat satu, dianggarkan bernilai RM70,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, suspek menggunakan Nissan Navara, Toyota Hiace, Perodua Alza dan Proton Exora.

“Kenderaan pengadu juga dirosakkan oleh suspek semasa dia cuba menghalang mereka melarikan diri. Pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian ini dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya menambah, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.–SB