Covid-19: Kes sembuh mengatasi kes baharu semalam

0
427

SEBANYAK 25,467 kes sembuh harian COVID-19 dilaporkan semalam, mengatasi kes baharu 20,923 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, ia menjadikan kumulatif kes sembuh 3,844,766 kes manakala jumlah keseluruhan dijangkiti COVID-19 sehingga kini adalah 4,122,004.

Menurut Dr Noor Hisham, 7,802 kes yang dicatatkan semalam atau 37.29 peratus merupakan kategori satu manakala 13,006 kes atau 62.16 peratus adalah kategori dua.

“Kategori tiga, sebanyak 44 kes atau 0.21 peratus, kategori empat (26 kes atau 0.12 peratus) dan kategori lima (45 kes atau 0.22 peratus),” katanya dalam kenyataan berhubung situasi semasa COVID-19 hari ini.

Mengenai penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes COVID-19, Dr Noor Hisham berkata tiada negeri menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Bagaimanapun, beliau berkata lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Johor, Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi penggunaan katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU).

Beliau berkata pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat kepada 198 pesakit dengan peratusan penggunaan alat itu adalah 22 peratus.

“Pada masa sama, terdapat juga kes-kes COVID-19 berisiko tinggi kategori satu dan dua yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

“Semalam, 979 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital dengan 569 kes atau 58.2 peratus adalah kategori satu dan dua manakala 410 kes atau 41.8 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata tiga kluster baharu dikenal pasti dengan jumlah kluster yang aktif kini adalah 232.

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara adalah 0.93 dengan Selangor merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.08 manakala Sabah mencatat kadar paling rendah iaitu 0.64.- BERNAMA  

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here