Keanu Reeves ‘diharam’ oleh China

PENGLIBATAN Keanu Reeves dalam sebuah konsert berkaitan dengan Tibet yang diasaskan oleh Dalai Lama mengundang padah apabila dia ‘diharamkan’ oleh platform penstriman China.

Tencent Video dan iQiyi bertindak menurunkan semua kandungan video dan filem aktor berkenaan susulan tindakannya menyertai konsert tersebut.

Menurut laporan media antarabngsa, sebanyak 19 buah filem lakonan Reeves didapati sudah diturunkan oleh Tencent Video termasuklah The Matrix dan John Wick.

Larangan penayangan tersebut bagaimanapun tidak diumumkan secara rasmi oleh penyiar kandungan, namun filem berkenaan masih boleh ditonton melalui WeChat.

Kemarahan China nampaknya membara apabila carian mama Reeves dalam bahasa Cina tidak boleh diakses dan membawa sebarang hasil.

Bagaimanapun sehingga semalam, penyiar kandungan tersebut masih belum memberikan respons kepada situasi ‘luar biasa’ berkenaan.

Terdahulu nama Reeves panas apabila wujud gerakan daripada pengguna media sosial di negara berkenaan sebaik sahaja dia mengumumkan akan menyertai sebuah konsert anjuran Tibet House US, sebuah pertubuhan yang bukan berasakan keuntungan yang berpangkalan di New York

Perseteruan antara Beijing dan Dalai Lama sudah lama apabila mereka menuduh pemimpin agama berkenaan menyebarkan fahaman pemisah bagi wilayah Tibet.