Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Exco Johor dibarisi peguam, guru, ahli perniagaan -

Exco Johor dibarisi peguam, guru, ahli perniagaan

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

BARISAN Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) Johor yang dilantik hari ini terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional dan berkelayakan tinggi daripada beberapa bidang.

Exco berkenaan terdiri daripada empat peguam, guru, perunding pendidikan awal kanak-kanak serta ahli perniagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, mandat diberikan itu adalah penghargaan golongan muda yang diberi kepercayaan bagi menerajui barisan kepimpinan kerajaan negeri Johor.

Beliau akan memastikan setiap tugasan yang dipikul mampu menjayakan dasar kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

“Saya akan memulakan tugasan esok dan melihat apa isu, permasalahan dan penambahbaikan yang diperlukan hasil perbincangan dan pertemuan bakal dilakukan,” katanya.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas pengumuman 10 Exco kerajaan Johor yang baharu di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Johor Bahru, hari ini.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon pula, tidak akan berlengah untuk memulakan tugasan kerana portfolio dipikul itu adalah sesuatu yang penting ketika negara akan beralih ke fasa endemik.

Malah susulan pembukaan sempadan Johor, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya akan berusaha sebaik mungkin dan tidak akan menghampakan pengundi yang memberi saya peluang menjadi Adun dan kini menggalas tugasan sebagai Exco,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan kesejahteraan penduduk.

“Peranan saya sebagai pemudah cara bagi memastikan semua penduduk termasuk B40 dan di bawahnya tidak terlepas pandang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi negeri, Norliza Noh bersyukur atas mandat berkenaan dan akan berusaha memikul portfolio berkenaan dengan sebaiknya.

“Saya akan berjumpa ketua-ketua jabatan yang berkaitan dahulu mulai esok,” ujar ADUN Johor Lama itu. – SB