DEWAN Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCCC) hari ini menafikan tanggapan bahawa masyarakat Cina di negeri itu mengalu-alukan lawatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Pulau Pinang.
Dakwaan itu dibuat selepas Presiden Persekutuan Persatuan Keturunan Zhang Malaysia, Anthony Chang Wei Loon berkata dia mengalu-alukan kedatangan Najib bagi pihak masyarakat Cina Pulau Pinang pada satu majlis yang diadakan semalam.
Presiden PCCC, Hong Yeam Wah berkata, PCCC tidak mungkin menjemput atau mengalu-alukan Najib – yang telah disabitkan kesalahan rasuah – ke Pulau Pinang. Ini kerana katanya, ahli-ahli perniagaan mengutamakan integriti melebihi segalanya.
“Bagaimana dia (Chang) boleh mewakili kami? PCCC mempunyai sejarah lebih seratus tahun, dan lebih 10,000 ahli meliputi semua industri di Pulau Pinang.
“Hampir semua ahli perniagaan di sini adalah ahli kami, bukan ahlinya,” kata Hong kepada Malaysiakini ketika dihubungi.
“Jadi pada dasarnya, kami tidak akan menjemput atau mengalu-alukan Najib ke majlis kami atau mengalu-alukan beliau ke Pulau Pinang.
“Kamu telah melakukan jenayah dan kamu datang ke sini untuk menghadiri acara yang bersifat politik. Kami sentiasa menegaskan bahawa pemimpin tidak sepatutnya melakukan rasuah,” katanya memetik laporan MalaysiaKini, hari ini.
Najib sedang merayu terhadap sabitan rasuah yang dikenakan ke atasnya.
Sementara itu, Hong enggan mengulas mengenai pemimpin masyarakat Cina Pulau Pinang lain yang menghadiri majlis dihadiri Najib semalam.
“Itu urusan mereka. Untuk PCCC, kami tidak akan menjemput beliau (Najib) untuk datang. Ahli perniagaan sentiasa menekankan bahawa pemimpin harus mempunyai integriti dan bebas daripada rasuah,” tegas Hong.
Najib telah memulakan lawatan ke Pulau Pinang bagi mendapatkan sokongan daripada masyarakat Cina di negeri itu semalam.
Selepas menyampaikan ucapan di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang ke-2, Najib mengadakan sesi dialog dengan pemimpin persatuan Cina Pulau Pinang.
Semasa sesi dialog itu, Chang mendakwa masyarakat Cina merindui ‘kenangan yang indah’ di bawah pentadbiran ahli parlimen Pekan itu di mana Malaysia meraih pencapaian ekonomi yang hebat.
Beliau turut memuji Najib yang mengambil pendekatan sederhana dalam mentadbir negara termasuk menghormati kepelbagaian kumpulan agama dan budaya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.