Alami masalah jantung, Triple H umum bersara dari gusti

SUSULAN keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, legenda WWE, Triple H mengumumkan persaraannya daripada menyertai sebarang pertandingan gusti.

Menerusi satu kenyataan, WWE memaklumkan Triple H, atau nama sebenarnya Paul Levesque mengadapi masalah jantung dan telah menjalani pembedahan pada September tahun lalu.

Katanya, Levesque, 52 tahun mengumumkan persaraannya menerusi satu temu bual bersama ESPN pada Jumaat.

Levesque turut mendedahkan bahawa dirinya telah dipasangkan alat difribilator pada bahagian dada berhampiran jantungnya.

Beliau yang turut terkenal dengan jolokan ‘The Game’ itu memulakan kariernya sekitar awal 1990-an di bawah nama Terra Ryzing sebelum menukar nama gelanggang kepada Jean-Paul Levesque ketika menyertai WCW pada 1994.

Levesque kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Hunter Hearst Helmsley di WWF (kini WWE) dan seterusnya Triple H.

Beliau mendirikan rumah tangga dengan Stephanie McMahon, anak kepada Pengerusi dan CEO WWE, Vince McMahon.

Selain bergiat dalam gusti, Levesque juga merupakan Naib Presiden Eksekutif (Bakat Global) di WWE.