Nafkah anak-anak boleh dituntut walau belum sah bercerai

TUNTUTAN nafkah anak-anak boleh difailkan ke mahkamah walaupun lafaz perceraian belum disahkan mahkamah atau sama ada suami isteri itu belum lagi bercerai.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, Seksyen 71 Akta/Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam menyatakan kewajipan seorang bapa menanggung nafkah anak-anaknya berupa tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau orang lain.

Ini bermaksud, kata beliau, walaupun lafaz perceraian belum disahkan oleh mahkamah, atau pihak-pihak belum lagi bercerai, tuntutan nafkah anak-anak boleh difailkan ke mahkamah.

Menurut Musa, pihak hakim Syariah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kadar nafkah anak-anak yang munasabah berdasarkan kemampuan dan taraf kehidupan pihak terlibat.

“Sekiranya suami (bapa) bersetuju dengan kadar nafkah yang dicadangkan oleh isteri (ibu) atau mungkin lebih sedikit daripada jumlah yang dicadangkan berdasarkan kemampuan suami, maka dengan persetujuan itu, mahkamah boleh memerintahkannya sebagai perintah.

“Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah pun mengeluarkan Arahan Amalan Mahkamah Syariah No. 5 Tahun 2019 – Garis Panduan Skala Pentaksiran Jumlah Nafkah Anak yang boleh dijadikan panduan hakim-hakim syariah dalam membuat penentuan kadar nafkah yang munasabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, Musa turut menyambut baik menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya hakim Mahkamah Syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah isteri serta anak-anak.

Jelas beliau, PGSM optimis cadangan Perdana Menteri itu boleh dilaksanakan dengan baik sekiranya mendapat kerjasama semua pihak yang terlibat sama ada pihak litigan, mahkamah syariah termasuk peguam-peguam syarie dengan meletakkan matlamat memberikan keadilan sebagai keutamaan.

Katanya, amalan ketika ini adalah satu persatu kes difailkan ke mahkamah iaitu diselesaikan kes perceraian terlebih dahulu sebelum difailkan tuntutan nafkah iddah dan anak-anak.

“Tuntutan nafkah akan memakan masa yang lama sekiranya ada pertikaian antara pihak-pihak berhubung jumlah atau kadar nafkah.

“Tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah kebiasaannya tergolong dalam tiga kategori iaitu pengesahan lafaz cerai luar mahkamah; perceraian dengan talak atau perintah dan perceraian secara talik berdasarkan taklik surat nikah atau fasakh iaitu pembubaran perkahwinan dengan perintah hakim,” jelas beliau.

Semalam, kerajaan bersetuju mencadangkan supaya hakim Mahkamah Syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak.

Perdana Menteri berkata, ini bagi mengelakkan masa yang terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu itu sehingga bekas isteri dan anak-anak tidak mendapat keadilan. – SB