Perak, NS, Pulau Pinang boleh solat jemaah tanpa penjarakan”

0
237

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membenarkan solat fardhu, Jumaat, jenazah dan tarawih dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal di negeri itu, dengan bilangan jemaah ditentukan mengikut keluasan ruang masjid atau surau, bermula waktu Subuh pada hari Jumaat ini.

Baginda bertitah, bagi kalangan para pelajar terutamanya di sekolah asrama penuh pula, demi melindungi keselamatan mereka, pengetua sekolah dan pengetua pusat-pusat pengajian diberikan budi bicara untuk mengadakan solat Jumaat dalam surau, bangunan atau kawasan sekitar institusi masing-masing.

Sultan Nazrin bertitah, walaupun Perak lazimnya menetapkan 20 rakaat solat tarawih, bagi meminimumkan risiko jangkitan dalam tempoh Fasa Peralihan Ke Endemik, Jawatankuasa dan Pegawai Masjid diberikan budi bicara menentukan bilangan rakaat solat Tarawih yang difikirkan munasabah untuk dilaksanakan di masjid dan surau masing-masing.

“Bagi meminimumkan tempoh pendedahan jemaah kepada udara yang terperangkap dalam bangunan, tazkirah yang dibenarkan selepas solat witir hendaklah tidak melebihi 30 minit.

“Program qiamullail dan iktikaf pada waktu malam di masjid dan surau dibenarkan, dengan mengambil langkah-langkah preventif jangkitan berpandukan nasihat Jabatan Kesihatan,” titah Baginda pada sesi sembah taklimat aktiviti masjid dan surau di negeri Perak sempena Fasa Peralihan ke Endemik di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Ipoh hari ini.

Sementara itu di SEREMBAN, kerajaan Negeri Sembilan menetapkan penjarakan fizikal ketika mendirikan solat berjemaah dan wirid di semua masjid dan surau di negeri ini mengikut aturan sejadah bersaiz besar iaitu 0.6 meter lebar x 1.2 meter panjang mulai 1 April ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, selain menjaga penjarakan fizikal satu meter, jemaah yang dibenarkan masuk ke masjid dan surau adalah lelaki, wanita dan kanak-kanak, warga tempatan dan bukan warganegara serta penduduk tetap yang telah lengkap menerima vaksin COVID-19.

“Jemaah yang hadir juga perlu memastikan dalam keadaan sihat, tiada gejala seperti demam, batuk, selesema atau sebagainya. Jemaah tidak dibenarkan untuk bersalaman atau melagakan penumbuk.

“Satu sejadah hanya untuk seorang sahaja, jemaah boleh rapatkan sejadah tapi tidak boleh berkongsi dalam keadaan pandemik ini, jemaah juga perlu membawa sejadah sendiri, pakai pelitup muka dan imbas Mysejahtera,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco hari ini.

Sementara itu di GEORGE TOWN, Pulau Pinang membenarkan pelaksanaan solat berjemaah secara merapatkan saf di surau dan masjid seluruh negeri itu bermula 1 April ini, kata Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, ketetapan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di peringkat Pusat berhubung solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal itu, dibuat selepas pihaknya mengadakan perbincangan mengenainya hari ini.

“Selain kebenaran merapatkan saf, kami juga membuat ketetapan untuk membenarkan aktiviti tadarus al-Quran dan qiamullail di semua masjid serta surau sepanjang bulan Ramadan nanti dengan pemantauan pengurusan (masjid dan surau) dan jemaah perlu mematuhi SOP ditetapkan sebelum ini, termasuk membawa sejadah sendiri.

“Solat Tarawih pula dibenarkan sehingga 20 rakaat dan kami turut memberi kelonggaran untuk membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah (untuk) turut menunaikan solat (Tarawih), manakala majlis berbuka puasa dan moreh pula dijalankan mengikuti kesesuaian SOP,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Multaqa Murabbi Ummah peringkat Pulau Pinang yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here