Terma ‘lompat parti’ perlu lebih jelas, elak isu berbangkit – Hamzah Zainuddin

0
445

SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin mahu Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti diperincikan dengan memberikan definisi tepat berhubung terma ‘lompat parti, sebelum dibentang untuk dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, RUU berkenaan perlu mengetengahkan definisi ‘lompat parti’ yang boleh diterima semua pihak bagi mengelak isu berbangkit pada masa depan.

Selain itu, katanya, RUU berkenaan perlu diperincikan menerusi beberapa aspek lain yang mungkin mengelirukan bagi mengelak elemen salah guna kuasa dalam kalangan pimpinan utama parti.

“Saya beri contoh, seseorang dipecat daripada parti, tidak boleh ke parti lain. Selain itu, hak ahli untuk mempunyai ketegasan dalam parti adalah sesuatu yang patut diambil kira.

“Misalnya, bila ahli parti tidak berpuas hati dengan pimpinan parti yang melakukan perkara salah, dia bertegas dan lawan sehingga dia dipecat. Apakah ia juga dianggap tidak boleh pergi ke parti lain? Apakah itu juga dianggap sebagai lompat parti?

“Jadi inilah perkara terperinci patut diambil perhatian. Itu satu contoh, ada banyak lagi contoh lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-232 di Ibu Pejabat Penjara di Kajang, Selangor, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Nordin Muhamad.

Terdahulu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa RUU Anti Lompat Parti dilaksanakan tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen 2022, iaitu pada bulan ini seperti dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai September lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here