PENCARIAN seorang tekong warga Thailand yang hilang dalam insiden bot karam di antara perairan Pulau Rimau dan Pulau Kendi, Pulau Pinang awal pagi semalam berakhir dengan penemuan mayat mangsa terperangkap di dalam bot tersebut pagi ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, mayat mangsa dijumpai penyelam persendirian yang ditugaskan oleh pemilik bot untuk menaikkan bot karam itu pukul 10.50 pagi tadi di kedudukan kira-kira 5.1 batu nautika barat Pulau Kendi.
Menurut beliau, mangsa, Sorawit Thapchaiyut, 47, warga Thailand dipercayai terperangkap dan gagal untuk menyelamatkan diri ketika bot dinaiki bersama dua nelayan lain itu karam.
“Sebelum itu, dua rakannya berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan semasa kejadian berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Operasi CARILAMAT yang memasuki hari kedua membabitkan aset Maritim Malaysia KILAT 26, RH 35 dan PSC 46 Pasukan Polis Marin, sebuah bot Agensi Pertahanan Awam (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) termasuk dua buah bot nelayan tempatan digerakkan melibatkan empat sektor dengan keluasan pencarian 30.04 batu nautika persegi.
Tambah Abd. Razak, mayat mangsa kemudianya dibawa ke Jeti PPM Batu Uban oleh bot PSC 46 diiringi oleh KILAT 26 sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk tindakan selanjutnya.

“Maritim Malaysia merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pasukan Polis Marin Batu Uban, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Pertahanan Awam termasuk bot nelayan tempatan yang turut serta membantu dalam operasi CARILAMAT ini,” katanya.
Dalam pada itu ujar beliau, Maritim Malaysia menasihatkan setiap komuniti nelayan mengutamakan keselamatan di laut termasuk peralatan untuk ke laut dan bot sentiasa berada dalam keadaan yang baik bagi persediaan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
“Pemilik bot juga dinasihatkan agar berhati-hati dan menyemak ramalan kaji cuaca sebelum turun ke laut.
“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.