Klip babak panas: Zul Ariffin disiasat di bawah Seksyen 233 

AKIBAT memuat naik beberapa sedutan babak drama mirip babak seks di media sosial, pelakon terkenal, Zul Ariffin bakal disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKM) 1998.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses undang-undang berhubung perkara itu sedang berjalan.

“Zul Ariffin akan disiasat kerana hantaran Instagram yang menyalahi undang-undang,” katanya menerusi ciapan di Twitter pada Selasa.

Tegasnya, adegan seperti yang dipaparkan itu tidak akan dibenarkan untuk tayangan.

“Sama ada bulan Ramadan atau bulan lain, jagalah nilai dan budaya,” katanya.

Zul Ariffin, 36, atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin menimbulkan kontroversi apabila berkongsi babak sensual yang berganding dengan heroin drama, Siti Hariesa di Instagram baru-baru ini.

Menerusi video berkenaan, beberapa babak panas, daring dan penuh berahi yang dilakonkan bersama pelakon heroin tersebut dan dipertontonkan kepada khalayak.

Namun begitu, perkongsian video yang dimuat naik oleh pelakon yang berusia 35 tahun itu nampaknya sudah dipadam setelah menerima kecaman daripada netizen. 

Bagaimanapun, Zul Ariffin telah pun memohon maaf menerusi Insta Story miliknya, dan meredakan isu yang sedang hangat diperkatakan gara-gara ‘video separa lucah’ untuk tujuan mempromosikan drama terbarunya itu. – SB