Anak ketujuh down sindrom, Faizal Tahir reda

TIADA siapa mahu diuji sebegini namun apabila terpilih untuk melaluinya, penyanyi Faizal Tahir reda dan menganggap ini adalah anugerah paling istimewa daripada Allah buat dirinya.

Faizal mendedahkan yang bayi perempuan yang juga merupakan anak ketujuh, merupakan seorang anak istimewa apabila disahkan mengalami down sindrom.

Bayi yang diberi nama Maryam Tahirah begitu istimewa pada mereka sekeluarga namun perkara tersebut tidak pernah dijadikan alasan untuk mereka tidak memberikan yang terbaik kepadanya.

“Sewaktu di dalam kandungan isteri saya, doktor dapat kesan beberapa masalah dan komplikasi. Mula-mula tu jantung, kemudian disahkan sebagai Tetralogy of Fallot (TOF) di mana campuran darah dan oksigen tak cantik,” jelasnya.

Sebagai ibu bapa, dia dan isteri sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menyambut bayi berkenaan.

Beberapa bulan selepas itu selepas melakukan pemeriksaan kandungan sekali lagi, doktor menemukan masalah lain di dalam perut berkait dengan komplikasi jantung dan sindrom down.

“Sebulan sebelum isteri saya bersalin, doktor mengesahkan anak memang penghidap sindrom Down. Saya menerimanya dengan baik dan reda. 

“Alhamdulillah, itu yang Allah bagi. Saya tak ada rasa down, frust… jujur tak ada,” katanya penuh semangat. 

Bagi Faizal, apabila dikurniakan anak istimewa begini, dia tahu akan menjadi lebih manusia yang lebih kuat dan lebih baik daripada semasa ke semasa.

Penerimaan orang sekeliling juga baik dan mereka memberikan semangat kepadanya untuk menjadi manusia yang lebih baik dengan sikap positif yang diberikan.

Paling menyentuh hati tatkala doktor memberikan penerangan bagaikan untuk menjaga anak dengan penuh teliti.

“This baby really needs you,” kata doktor yang merawat anak berkenaan kepadanya.

“Masa doktor cakap macam benda yang terdetik dekat saya punya hati, bukan anak saya yang sangat perlukan saya, tetapi saya yang sangat perlukan anak ini untuk menjadi manusia yang lebih baik dan bersyukur. 

“Saya juga boleh memperbaiki diri sebagai seorang hamba Allah. Ini yang membuat saya rasa sangat bersyukur apabila Allah beri perkara sebegini dengan satu niat yang sangat baik,” tuturnya lagi.

Sebagai info, Faizal dan isteri mendirikan rumah tangga pada tahun 2001 dan dikurniakan tujuh orang anak dan tiga daripadanya lelaki. – SB