Teruk dikecam netizen, Zul Ariffin akhirnya mohon maaf

Setelah menerima kecaman hebat daripada netizen dan teguran daripada pemimpin agama, akhirnya Zul Ariffin membuat permohonan maaf.

Dia yang berkongsi permohonan maaf tersebut melalui Insta Story miliknya, dilihat mahu meredakan isu yang sedang hangat diperkatakan gara-gara ‘video separa lucah’ untuk tujuan mempromosikan drama terbarunya itu.

“Dengan hati terbuka, saya ambil maklum di atas semua respons dari banyak pihak berkenaan video yang dipaparkan sebelum ini.

“Saya memohon maaf kepada semua yang terkesan dari tindakan memuat naik video berkenaan,” tulisnya seperti yang siarkan pada Isnin.

Terdahulu, nama lelaki ini panas apabila potongan klip drama Perempuan Itu yang dimuatkan dalam Instagram miliknya menerima kecaman hebat daripada netizen.

Ada yang menganggap apa yang cuba dipertontonkan kepada umum sebagai satu perkara yang tidak wajar dan tak kurang juga yang menganggap itu sebagai babak ‘soft porn’ versi Malaysia.

Tidak cukup dengan itu, nama Siti Hariesa juga meledak dan sedikit sebanyak mempopularkan nama pelakon baharu itu dengan cara yang kurang manis.

Menariknya, isu tersebut bukan sahaja menarik perhatian orang industri tetapi juga menarik perhatian beberapa orang Menteri, pendakwah dan pemimpin persatuan yang kecewa dengan penularan video berkenaan.

Zul juga memaklumkan dia akan lebih berhati-hati dan meneliti terlebih dahulu sebarang video sebelum memuat naik di media sosial.

“Selepas ini saya akan lebih meneliti dan berhati-hati untuk memuat naik cebaran bahan yang diberikan kepada saya untuk dipromosikan di media sosial,” katanya.