Pesawat China Eastern bawa 133 penumpang terhempas

SEBUAH pesawat milik syarikat penerbangan China Eastern Airlines yang membawa seramai 133 orang, dilaporkan terhempas di kawasan pergunungan di barat daya China dalam satu kejadian pada Isnin, lapor media tempatan.

Stesen televisyen rasmi tempatan memaklumkan, pesawat berkenaan sedang dalam perjalanan menuju ke Guangzhou daripada Kunming, dan mengalami kemalangan ketika melalui Guangxi.

Ketika ini, jumlah korban masih belum dikenal pasti namun pasukan penyelamat dilaporkan telah dihantar ke kawasan pergunungan berkenaan.

Biro Pengurusan Kecemasan Guangxi berkata, sebuah pesawat jenis Boeing 737 milik China Eastern Airline yang membawa seramai 132 orang terhempas di daerah Teng, Wuzhou, Guangxi dan mencetuskan ‘gunung berapi’.

Sementara itu, syarikat penerbangan China Eastern Airline dilaporkan telah menukarkan laman sesawang mereka kepada warna hitam dan putih sebagai penghormatan dan solidariti kepada kesemua mangsa.

Dalam perkembangan lain, data penerbangan menunjukkan pesawat berkenaan jatuh daripada ketinggian beribu kaki di udara dalam masa beberapa minit sahaja menyebabkan kru penerbangan tidak sempat menyelesaikan isu yang dihadapi ketika kejadian.

Jejak penerbangan pesawat itu terhenti sekitar jam 2.22 petang waktu tempatan hari ini, pada ketinggian 30,000 kaki di udara dengan kelajuan 376 knot ketika pesawat berkenaan tiba-tiba menjunam sebelum terhempas.