Perinci maklumat guru bersara awal: KPM

0
392

KADAR guru bersara awal adalah hampir menyamai guru yang bersara wajib, kata Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mendedahkan, kadar guru bersara awal adalah hampir menyamai guru yang bersara wajib.

Justeru Radzi berkata, KPM akan memperincikan maklumat termasuk punca bersara awal bagi membolehkan perkara berkenaan dilihat secara menyeluruh.

“Data-data ini kita perincikan satu persatu, bukan hanya melihat daripada segi jumlah (permohonan), tetapi perkara lain seperti guru yang bagaimana, berapa lama dalam karier dan sebagainya.

“Guru yang membuat keputusan bersara awal ini sedang diperincikan untuk kita lihat dengan lebih menyeluruh,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau pengoperasian hari pertama sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Idrus, Kampung Kuang Hilir, Chemor di Ipoh, Perak, hari ini.

Beliau berkata, pada ketika ini, terdapat pelbagai corak dan trend diperkatakan berhubung guru yang memohon untuk bersara awal.

“Oleh kerana itu, kita sedang susun data ini, apabila semuanya sudah jelas, kita akan kongsikan maklumat lanjut berkaitan hal ini,” katanya.

Pada Februari lalu, media melaporkan kebimbangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengenai laporan berkaitan guru yang memohon bersara awal akibat pandemik Covid-19 di negeri tersebut.

Saarani turut menyeru guru-guru di Perak tidak mengambil keputusan meletak jawatan atau bersara awal disebabkan Covid-19 memandangkan guru merupakan ejen perubahan masyarakat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Dr. Mah Hang Soon dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat tahun lepas menyatakan, terdapat beberapa alasan permohonan bersara awal dibuat antaranya tidak berminat meneruskan khidmat, faktor keluarga, kesihatan, beban tugas dan faktor peribadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here