BAPA kepada Allahyarham Muhammad Adib, anggota bomba yang meninggal dunia dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 2018, Mohd Kassim Abdul Hamid, 66, mengesahkan telah menerima wang pampasan daripada kerajaan.
Mohd Kassim berkata, selain digunakan untuk saham akhirat arwah, sebahagian wang pampasan berjumlah RM1.5 juta yang diterima itu juga digunakan untuk kelangsungan hidup keluarganya.

Katanya, keluarganya sangat bersyukur menerima wang itu pada 29 November lalu seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
“Wang ini saya akan gunakan sebaik mungkin untuk kelangsungan hidup kami sekeluarga dan pada masa sama, akan turut disumbangkan kepada masjid.
“Saya juga akan guna wang ini untuk wakafkan sesuatu atas nama arwah. Kami sekeluarga akan lakukan yang terbaik untuk anak-anak saya serta arwah,” katanya kepada BH Online.
Semalam, Perdana Menteri berkata kerajaan sudah membayar ex-gratia berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib pada 29 November 2021 dan kes kematian anggota bomba itu sedang disiasat secara menyeluruh, telus serta diberikan pembelaan sewajarnya.
Mohd Kassim yang juga pesawah tetap berharap kematian arwah anaknya dibela dengan siasatan yang telus dan sehingga kini, mereka sekeluarga masih menunggu hasil siasatan pihak berkuasa serta berharap ia akan diteruskan sehingga penjenayah sebenar dibawa ke muka pengadilan.
Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN). Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.