AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 2.2 tan daun ketum dianggarkan bernilai RM396,000 di perairan muara Kuala Kedah, pada Ahad.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Noor Azreyanti Ishak, berkata sebelum itu pihaknya mendapat maklumat berhubung aktiviti pemunggahan yang mencurigakan di kawasan itu.
“Berikutan itu, sekitar 6 pagi tadi sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di perairan Kuala Kedah diatur gerak bagi mengesan aktiviti ini.
Setiba di lokasi berkenaan, bot ronda Maritim Malaysia itu berjaya mengesan longgokan plastik hitam yang mencurigakan dalam keadaan berselerak di tepi muara tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, sebanyak 220 bungkusan plastik ditemukan yang di dalamnya mengandungi daun hijau disyaki daun ketum dengan anggaran berat keseluruhan 2.2 tan dan dipercayai baru saja diletakkan di lokasi terbabit.
Menurutnya, daun ketum itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran melalui jalan laut.
“Semua hasil rampasan daun ketum itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.