Selebriti panas dikaitkan kes gubah wang haram Doni Salmanan

SEJUMLAH selebriti popular Indonesia panas apabila nama mereka terkait dengan kes perjudian online dan penggubahan wang haram oleh influencer popular Doni Salmanan.

Sejak seminggu yang lalu, beberapa nama artis termasuklah Atta Halilintar, Rizky Febian dan beberapa nama lain dikaitkan pernah menerima sejumlah duit dan barang daripada lelaki berkenaan.

Pada Rabu, Atta berjanji akan memulangkan satu beg tangan jenama Dior yang kepada pihak berwajib setelah kes tersebut meraih perhatian seluruh Indonesia.

“Saya pernah mendapat hadiah ulang tahun daripada Doni. Saya segera akan menyerahkan kepada pihak berwajib,” ungkap Atta.

Nama Doni sememangnya dikenali ramai sebagai seorang YouTuber dan pemilik sebuah aplikasi dalam talian.

Dia bukan sahaja berkawan baik dengan golongan selebirti dan kenamaan tetapi juga sering memberikan barangan mewah kepada mereka.

Namun seminggu yang lalu, Doni ditangkap oleh pihak berkuasa apabila dikaitkan dengan penggubahan wang haram sehingga mengheret beberapa nama selebirti popular di sana untuk disiasat.

Penyanyi Rizky pula dipanggil pihak berkuasa apabila terkait dengan penipuan pelaburan Quotex milik Doni.

Dia yang juga merupakan anak kepada pelawak Sule dipanggil mengadap ke balai polis untuk memberikan keterangan berhubung dengan kes berkenaan.

Meskipun tidak memberikan sebarang kenyataan kepada pihak media di sana, peguamnya Ahmad Ramzey mendedahkan yang mereka datang untuk membantu siasatan.

“Kami hanya membantu dalam siasatan sahaja. Belum ada isu lain yang berbangkit,” kata peguam tersebut lagi.

Terdahulu, Rizky dikatakan menerima sejumlah duit daripada Doni pada September 2021 hasil penjualan minuman jenamanya.

Dia sepatutnya menerima 20 juta Rupiah (RM 5,800) sahaja tetapi apabila dibeli oleh Doni harganya menjadi 400 juta Rupiah (RM117,000).

Wang yang diterima oleh Rizky itu khabarnya disedekahkan kepada orang susah dan kegiatan amal. – SB