Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
RUU Anti Lompat Parti akan dibentang di sidang khas Parlimen -

RUU Anti Lompat Parti akan dibentang di sidang khas Parlimen

RANG Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 berhubung Anti Lompat Parti dan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri Sehingga 10 Tahun akan dibentangkan pada sidang khas Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia akan dibentangkan sebaik sahaja pendapat dan input daripada semua pihak diperoleh, sesi libat urus selesai serta sekiranya Jemaah Menteri meluluskan.

Beliau berkata, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) itu selaras dengan Peraturan 11(3) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebaik sahaja Perdana Menteri bersetuju menggunakan kuasanya di bawah peraturan berkenaan.

“Kerajaan sentiasa komited dan akan meneruskan usaha merealisasikan penggubalan RUU ini demi memastikan kestabilan politik negara berada pada tahap terbaik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan pada 11 Mac lalu sudah mempertimbangkan RUU berkenaan.

Namun, Kabinet memutuskan RUU masih memerlukan penelitian lanjut melalui sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan lain khususnya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ini bagi memastikan pindaan itu mendapat sokongan mereka di Dewan Rakyat. 

Di bawah Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan, sokongan majoriti dua pertiga di Dewan diperlukan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.

Berhubung perkara itu, Wan Junaidi berkata, pada 15 Mac lalu beliau sudah mengemukakan surat kepada semua pemimpin parti beserta borang soal selidik untuk dijawab bersama draf RUU untuk pandangan dan input selanjutnya.

“Inisiatif ini adalah kesinambungan daripada keseluruhan sembilan sesi libat urus yang saya sudah adakan bersama pelbagai pihak seperti ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta parti komponen termasuk di Sabah dan Sarawak dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara.

“Saya juga ingin menjelaskan bahawa sesi libat urus bersama BN dan PN yang dijadualkan pada 26 dan 28 Februari lalu ditangguhkan atas permintaan parti untuk memberi fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor,” katanya.