Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
[VIDEO] Keyakinan UMNO untuk tawan PRU15 pramatang, banyak lagi kerja perlu dibuat - KJ -

[VIDEO] Keyakinan UMNO untuk tawan PRU15 pramatang, banyak lagi kerja perlu dibuat – KJ

AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menyifatkan keyakinan UMNO untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 sebagai pramatang.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata, pada ketika ini, apa yang diperlukan oleh rakyat adalah adalah penyelesaian terhadap permasalah yang dihadapi kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Menurut Khairy, ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada pagi ini tidak banyak menyentuh mengenai pemulihan negara dari segi ekonomi dan sosial yang sepatutnya menjadi dasar parti dan manifestonya.

Malah, perbahasan sayap-sayap parti yang telah berlangsung juga tidak menyentuh perkara-perkara yang sepatutnya dijadikan dasar parti.

“Jika penyelesaian UMNO untuk pemulihan negara masih belum lengkap bagaimana mahu kembalikan mandat kepada rakyat dalam pilihanraya?

“UMNO perlu berikan penyelesaian yang menarik dan memberi harapan kepada rakyat yang menunjukkan ia tahu perkara-perkara yang diperlukan dalam dasar serta program kerajaan untuk memulihkan negara,” kata beliau dalam temu bual bersama Agenda Awani pada pagi Jumaat. 

Khairy memberikan contoh bagaimana menangani isu ‘generasi hilang’ (lost generation) yang terjejas akibat kecelaruan dalam sistem pendidikan dan kelompongan dalam sektor kesihatan awam kesan daripada pandemik yang melanda negara sejak dua tahun lepas.

Menurut beliau, perkara-perkara seperti itulah yang sepatutnya menjadi dasar UMNO yang dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang sedang berlangsung ketika ini dan bukannya soal pembubaran Parlimen dan kembalikan mandat rakyat.

“Bila kita kata mahu bubarkan Parlimen dan kembalikan mandat, apa penyelesaiannya (kepada isu-isu negara ketika ini)?  

“Sebelum diselesaikan apa tawaran kepada rakyat yang akan menjadi manifesto kita nanti, saya rasa agak pramatang untuk sebut inilah masa untuk kembalikan mandat dan sebagainya,” tegas beliau.

Beliau turut menegaskan, masih banyak ‘kerja’ yang perlu dilakukan untuk memulihkan negara yang perlu dilakukan sebelum melaksanakan PRU Ke-15.

Khairy turut menasihatkan UMNO agar tidak kembali kepada keangkuhan yang lama dengan menganggap kemenangan dalam beberapa Pilihan Raya Negeri yang lalu menjadikan parti itu hebat dan sudah tahu semuanya.

Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan pada ketika ini duduk sama berbincang untuk mencari dan menyelesaikan isu serta krisis yang dihadapi rakyat pada era pasca pandemik ini. – SB