Tok Mat desak PRU15 lebih awal kerana mahu jadi PM, kata Nazri Aziz 

0
439

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana mempunyai agenda peribadi untuk bertanding kerusi Parlimen dan seterusnya menjadi perdana menteri, kata veteran parti itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, tindakan itu dijangka ekoran kes mahkamah Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyebabkan tidak boleh diletakkan sebagai calon perdana menteri.

“Kalau kita buat macam itu (bubarkan Parlimen), kita dilihat mementingkan parti, bukan rakyat. Nampak sangat masa ini dia (Mohamad) hanya fikirkan diri dia,” kata Nazri memetik laporan MalaysiaNow.

“Dia hendak tanding Parlimen, kalau menang dia jadi perdana menteri, itu kepentingan dia.”

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat semalam menyeru agar PRU15 diadakan segera kerana pembangkang sedang lemah dan berpecah.

Dalam ucapan pembukaan Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita dan Puteri, beliau turut menyatakan Umno tidak boleh bergantung harap kepada memorandum persefahaman (MoU) dengan pihak pembangkang untuk kekal menjadi kerajaan.

Namun bagi Nazri, hujah itu tiada merit.

Blok pembangkang katanya mampu untuk belajar daripada kelemahan-kelemahan mereka sepanjang beberapa siri pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan sebelum ini.

“Mereka sudah tahu kalau dia berpecah akan kalah, maka lepas ini  mereka akan duduk berbincang dan bahagikan kerusi betul-betul, seperti yang dibuat pada PRU14.

“Kalau bertembung one-on-one, kita (Barisan Nasional) akan kalah,” katanya.

Beliau merujuk kepada PRN Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor yang menyaksikan kekalahan teruk Pakatan Harapan (PH) di kesemua negeri itu.

Nazri turut menyelar seruan membubarkan Parlimen oleh Mohamad yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu sebagai kebudak-budakan.

Ini kerana katanya, seruan itu dilihat membelakangkan hak Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Tok Mat tak faham Perlembagaan. Salah satu kuasa Agong ialah membubarkan Parlimen. Walaupun dinasihati perdana menteri, kalau baginda rasakan banyak isu belum selesai, baginda tidak akan setuju.

“Kita dengan pihak istana ini kena berunding. Pada masa-masa lepas, perdana menteri tak pernah menzahirkan sama ada Parlimen kena bubar, semua orang hanya mampu berspekulasi.

“Dahulu mana ada Dr Mahathir umum bila hendak bubar. Dia faham Perlembagaan, tak boleh umum selagi tidak berunding dengan Istana,” katanya.

Perhimpunan Agung Umno 2021 bermula semalam sehingga 19 Mac.

Antara isu yang dijangka menghangatkan pentas ialah pembubaran Parlimen, kerjasama dengan PAS dan krisis kepimpinan di Johor.

Seramai 5,571 perwakilan dijangka hadir ke perhimpunan tahunan itu.
Dalam pada itu, Nazri menyeru perwakilan agar meletakkan keutamaan kepada memperbetulkan parti Melayu terbesar itu.

“Caranya mereka perlu minta pemilihan parti diadakan. Pentadbiran Umno hari ini hanya caretaker sahaja.

“Kalau Tok Mat kata pemilihan akan pecah-belahkan Umno, dia yang sebenarnya hendak pecah-belahkan Umno. Tiada peluang jadi menteri, dia mengugut,” katanya.

Sebelum ini, MalaysiaNow melaporkan Zahid akan menggunakan perhimpunan tersebut untuk menekan Perdana Menteri Ismail Sabri membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Ini kerana PRU15 yang lebih awal daripada pemilihan Umno dilihat akan menyelamatkan karier beliau yang dibebani 47 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berkaitan Yayasan Akal Budi ketika menjadi timbalan perdana menteri di zaman pentadbiran Najib Razak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here