Ismail Sabri patut jadi ’poster boy’ PRU15 – Puteri Umno

0
553

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob perlu diberi sokongan sebagai ‘poster boy’ untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Wakil Puteri UMNO Pahang, Salmiah Ab. Rahman berkata, isu ‘poster boy’ memainkan peranan penting bagi memastikan kemenangan BN dalam pilihan raya akan datang.

Menurut beliau, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO dilihat calon sesuai untuk ditampilkan sebagai watak utama BN dalam PRU-15.

“Poster boy memainkan peranan yang penting dalam kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

“Justeru, kita harus menyokong Ismail Sabri bagi mengekalkannya sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15 nanti,” katanya, memetik laporan UtusanTV hari ini.

Beliau berkata demikian selepas berbahas sempena Perhimpunan Agung Puteri UMNO, hari ini.

Salmiah yang juga Naib Ketua Puteri UMNO Pahang turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri berhubung pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diumumkan semalam.

Beliau berkata, langkah itu sekali gus menggambarkan kebijaksanaan Ismail Sabri serta membuktikan Ahli Parlimen itu sentiasa mendengar rintihan rakyat.

Pada masa sama, Salmiah turut menghargai pendirian Perdana Menteri dalam memperkasa bahasa Melayu.

Kata beliau, inisiatif tersebut juga selari dengan perjuangan UMNO yang terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Tidak perlu rasa malu, memartabatkan bahasa Melayu di peringkat diplomasi. Apa yang dilakukan Ismail Sabri malah akan mengangkat semula bahasa Melayu dan budaya kita.

“Menerusi kesungguhan Perdana Menteri mengangkat bahasa Melayu, ini akan menjadikan isu pendidikan bahasa itu dapat dibentangkan dalam pelbagai bentuk,” jelas beliau.

Pada 26 Februari lalu, Perdana Menteri berkata, Malaysia akan menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here