Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki terbabit kemalangan maut 4 beranak mengaku tak salah pandu melulu -

Lelaki terbabit kemalangan maut 4 beranak mengaku tak salah pandu melulu

PEMANDU sebuah kenderaan pacuan empat roda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga dalam kemalangan di Lebuhraya Sultan Iskandar 27 Feb lalu.

Aliff Asyraf Abu, 27, yang hadir ke mahkamah dengan memakai pendakap leher dan badan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut kertas pertuduhan, mekanik itu didakwa sebagai pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux memandu dengan melulu dan berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian empat sekeluarga, lapor Sinar Harian.

Mangsa yang maut dikenali P Milan Damani, 32, isterinya C Tinisha, 31, dan dua anak mereka Rihaan Ivaan Damani, 4 dan Ishaan Ivaan Damani, 3.

Kesalahan didakwa dilakukan di Lebuhraya Sultan Iskandar, pada jam 11.20 pagi, 27 Feb lalu.

Ia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

Selain itu, butir sabitan diendorskan pada lesen pemandu dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Izzat Hasizan yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya diberi ikat jamin minimum kerana memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

“Ini merupakan kali pertama tertuduh didakwa di mahkamah dan semasa kejadian dia tidak berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 28 April untuk sebutan semula kes.