JIKA dahulu kebergantungan peminat untuk mendengar lagu lebih tertumpu kepada stesen radio dan YouTube semata-mata, nampaknya arah tersebut sedikit berubah.
Kini, aplIkasi TikTok lebih merajai media sosial dan ini dapat dibuktikan apabila lagu Nirmala nyanyikan Datuk Seri Siti Nurhaliza kembali popular menerusi aplikasi berkenaan.
Semuanya bermula apabila dia mempersembahkan lagu berkenaan sempena program Big Stage 2022 baru-baru ini dan menjadi perhatian.
“Saya teruja apabila melihat Nirmala kembali menjadi perhatian peminat. Kalau dilihat kepada beberapa video, ada yang melakukan Nirmala Challenge sama ada nyanyian mahupun tarian.
“Malah ada beberapa selebriti dari luar negara pun menyertainya sama ada melagukan qasidah ataupun tarian.
“Terima kasih kepada semua kerana mempopularkan kembali Nirmala. Ini sesuatu yang sangat luar biasa,” katanya.
Nirmala sudah dua dekad dilancarkan merupakan lagu ciptaan Allahyarham Pak Ngah dan lirik oleh Che Kem.
Lagu ini juga termuat dalam album Sanggah Mustika yang dilancarkan pada 2002. Beberapa lagu laik yang termuat dalam album ini termasuklah Kurik Kundi, Bisikan Hati dan Sulam Sembilan.
“Nirmala memang sebuah lagu yang indah dan malar segar. Lagu itu juga dimuatkan dalam album tradisional, sudah pasti saya gembira sekiranya ia kembali popular dan didengar.
“Setidaknya kita semua memanfaatkan media sosial dan dalam masa yang sama memperkenalkan lagu Malaysia ke luar negara,” tambahnya lagi.

Mengikut pemerhatian menerusi aplikasi berkenaan, tanda pagar #nirmalachallenge sudah mendapat 7.3 juta respons daripada pengguna di seluruh dunia.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.