AYPG tidak disenarai dalam pemberian SHAKAM – Ahmad Faizal

0
377

SUKAN Para Remaja Asia (AYPG) tidak diiktiraf oleh kerajaan untuk disenaraikan dalam pemberian insentif menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bercakap dalam sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat hari ini, katanya AYPG tidak disenaraikan dalam pemberian SHAKAM disebabkan beberapa faktor antaranya temasya peringkat remaja itu tidak menetapkan sebarang syarat kelayakan penyertaan.

Sebaliknya ia tertakluk kepada kesediaan negara peserta membelanjakan peruntukan bagi menghantar atlet remaja para masing-masing.

Selain itu, beliau berkata kelonggaran syarat klasifikasi menyebabkan beberapa kategori kecacatan digabungkan dalam satu acara dan penggabungan dilakukan dalam AYPG tidak menepati ketetapan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang hanya membenarkan penggabungan dua kategori, namun temasya itu membenarkan lebih daripada dua kategori digabungkan.

“Justeru, tidak afdal sekiranya kemenangan atlet tersebut diberikan insentif hadiah kemenangan.

“Bagaimanapun, Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) telah membiayai sepenuhnya penyertaan kontinjen Malaysia ke temasya tersebut di Bahrain yang melibatkan RM260,000 dan disalurkan melalui Majlis Paralimpik Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Khoo Poay Tiang (PH-Kota Melaka) yang memohon pertimbangan semula kementerian untuk memberi insentif kemenangan dan pengiktirafan sepatutnya kepada atlet terlibat dalam temasya itu.

Ahmad Faizal berkata, pemberian SHAKAM adalah berdasarkan kepada beberapa kriteria digariskan MSN seperti pengiktirafan oleh Persatuan Sukan Antarabangsa, kekerapan penganjuran, bilangan penyertaan negara, bilangan peserta dalam acara dan proses kelayakan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here