PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor semalam menyaksikan calon berusia bawah 30 tahun yang bertanding masih belum mampu memperoleh mandat rakyat negeri itu, meskipun kali pertama menyaksikan pelaksanaan Undi18.
Seramai lapan calon berumur bawah 30 tahun bertanding dalam PRN Johor dengan dua individu calon paling muda, yang kedua-duanya berusia 26 tahun.
Daripada lapan calon itu, hanya seorang calon iaitu Amira Aisya Abd Aziz, 27, daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang memperoleh kemenangan pertama untuk parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Puteri Wangsa dengan majoriti 7,114 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Muda menewaskan Ng Yew Aik (BN-MCA), Loh Kah Yong (PN-Gerakan), Dr Khairil Anwar Razali (Pejuang), Choong Shiau Yoon (Parti Bangsa Malaysia) dan Adzrin Adam (Bebas).
Secara keseluruhan, 63 calon berusia 40 tahun dan ke bawah daripada 239 calon bertanding pada PRN Johor dengan Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan calon paling ramai iaitu 14 individu, diikuti Perikatan Nasional (13), Pejuang (11), Pakatan Harapan (10), Muda (tujuh), PKR (empat) dan PBM (dua).
Dua lagi calon ialah daripada Parti Warisan yang bertanding di kerusi DUN Bukit Batu dan calon Bebas di DUN Kempas.
Bagaimanapun, 14 calon daripada 63 calon berusia bawah 40 tahun mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya mendapat mandat daripada penduduk di negeri selatan tanah air itu.
PRN kali ini menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi Dun yang dipertandingkan, sekali gus membolehkan parti berkenaan membentuk kerajaan negeri, manakala PH memenangi 11 kerusi, PN (tiga kerusi), manakala PKR dan Muda pula masing-masing satu kerusi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.