SEORANG kanak-kanak perempuan maut akibat tercampak keluar dari kereta dipandu bapanya yang terbabas di Kilometer 340.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Tapah, Perak, hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 1.30 tengah hari itu, N. Ashvika, 11, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, mangsa bersama ibu dan bapa serta dua adik perempuannya dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Selangor.
Apabila sampai di tempat kejadian, kereta jenis Nissan Almera dipandu bapa mangsa yang juga kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi pembahagi jalan.
“Mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang tercampak keluar melalui cermin belakang kereta. Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans Hospital Tapah.
“Kemalangan itu dipercayai turut mengakibatkan adik mangsa berusia enam tahun patah tangan dan kaki kiri.
“Ibu dan bapa serta seorang lagi adik mangsa berusia 10 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya, memetik laporan UM, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan siasatan awal mendapati punca kemalangan akibat terbabas sendiri.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.