
CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi DUN Semarang, Shazani A. Hamid, 31 dianggap `adik bongsu’ yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Sebagai calon muda bagi parti PN, Shazani bukan sahaja boleh berbahasa Mandarin, malah meramalkan peluangnya untuk memenangi kerusi tersebut pada skala 5 atau lebih dalam PRN ini.
Ikuti temubual bersama wartawan UtusanTV, Farwizah Samsudin.
Saya ucapkan selamat Hari Wanita Sedunia khususnya untuk wanita di DUN Semarang. Tanpa wanita, siapalah seorang anak. Wanita adalah tunjang di sebalik kejayaan seorang lelaki.
SHAZANI: Tarikan di Semarang yang kita boleh lihat ialah yang utamanya Arena Warna yang nengetengahkan produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) macam seramik, kerepek, barang barang perkahwinan dan permaidani.
Selain itu, kita ada kawasan istimewa dipanggil Sawah Sagil. Di situ, ada warung-warung dan pemandangannya sangat indah.
Kebiasaannya orang kampung jadikan kawasan tersebut sebagai tempat riadah. Sambil menikmati pemandangan dapat makan juadah istimewa. Antaranya yang kita boleh dapat ialah cakoi. Itu kegemaran saya dari zaman bujang sehingga kini.
UtusanTV: Sedih ke sebab tiada apa yang hendak ditunjukkan kepada orang luar?
SHAZANI: Sedih sangat sebab kita ada uniknya. Tetapi disebabkan ekonomi di Semarang sangat jauh ke belakang dan sambutan untuk orang ramai datang ke sini dalam jangka masa panjang itu tiada, maka jadi sendu. Tidaklah (Semarang) jadi betul-betul kawasan tumpuan.
Sedangkan Ayer Hitam ini memang di pertengahan. Keluar tol sahaja sudah jumpa. Itulah situasi di Ayer Hitam khususnya di Semarang. Kita ada kawasan yang menarik iaitu Arena Warna yang menjual produk IKS. Tetapi tidaklah sentiasa memberansangkan. Ada waktu-waktunya.
Selain itu, aktiviti lain melibatkan anak muda seperti tempat sukan pun tidak ada. Saya sendiri yang suka aktiviti sukan tetapi tiada kemudahan di kawasan sendiri. Terpaksa pergi jauh sehingga ke Parit Raja, Kluang dan Batu Pahat.
Ini sangat menyedihkan untuk anak tempatan seperti saya yang duduk di sini dah 31 tahun. Tiada perkembangan dan perubahan sehingga kini.
UtusanTV: Pembangunan apa yang diperlukan di Semarang?
SHAZANI: Pembangunan yang saya cadangkan bagi DUN Semarang antaranya ialah institusi pengajian tinggi. Saya faham IPT bukanlah mudah untuk dibina di sini. Tetapi ini untuk tambah baik pembangunan yang sedia ada. Mungkin membantu meningkatkan ekonomi secara tidak langsung.
UtusanTV: Orang muda di Semarang ini suka apa?
SHAZANI: Saya nampak orang muda khususnya di DUN Semarang suka berniaga dan beraktiviti. Aktiviti seperti futsal dan badminton. Cuma fasilitinya sangat kurang. Ada pun tidak berapa lengkap dan tidak tertutup.
UtusanTV: Apa yang Shazani belajar apabila terlibat dalam politik?
SHAZANI: Apa yang saya dapat belajar setelah terlibat dengan politik ini lebih kepada kemasyarakatan. Saya lebih terbuka kepada orang-orang di setiap lapisan masyarakat, kategori dan tidak mengira umur.
Secara tidak langsung dapat mendengar keluhan dan kesusahan, keperitan rakyat secara lebih dekat lagi.
UtusanTV: Apa pengalaman menarik semasa kempen?
SHAZANI: Pengalaman saya dalam berkempen ini sangat mencabar. Saya dapat melihat rakyat marah dengan situasi yang dihadapi, isu-isu yang masih tergantung dan tiada penyelesaian. Memang kena marah malah kena halau. Walaupun bukan kita yang buat tetapi mereka marah dan benci mendengar tentang politik ini disebabkan dengan apa yang mereka lalui. Di samping itu, dalam kempen ini boleh berjumpa dengan masyarakat berbilang bangsa dan kaum. Malah, dapat melihat penerimaan mereka yang berbeza-beza. Ada yang positif dan negatif. Alhamdulillah, kebanyakannya positif termasuk dari bangsa-bangsa lain. Mungkin kerana saya pandai berbahasa Mandarin. Jadi penerimaan dari bangsa Cina, mereka sangat mengalu-alukan calon yang muda dan baharu. Tidak kurang juga yang berbangsa Melayu. Cabarannya sangat luar biasa bagi kempen kali ini.
UtusanTV: Peluang menang dalam skala 1 – 10?
SHAZANI: Skala yang saya boleh cakap ialah 5 dan boleh jadi lebih dalam jangka masa tiga hari ini. Kita cuba (dapatkan) lebih dari 5.
UtusanTV: Rasuah ? Apa komen?
SHAZANI: Saya menentang hebat rasuah, mencuri dan merompak ini. Rakyat nampak dan rakyat marah tindakan sebegitu.
Dari atas sehingga ke akar umbi ada rasuah ini. Maka, saya sebagai orang baharu berharap sangat untuk PN menentang hebat dan berpegang kepada kepimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah serta prihatin kepada rakyat.
Kami sebagai calon dari PN telah pun membuat akujanji untuk bebas dari rasuah dan menentang kleptokrasi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.