Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Ingat! jumlah keluar mengundi rendah hanya untungkan BN - Muhyiddin -

Ingat! jumlah keluar mengundi rendah hanya untungkan BN – Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin malam ini menyuarakan kebimbangannya jika jumlah peratusan keluar mengundi pada 12 Mac ini kekal rendah seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah hanya menguntungkan UMNO dan Barisan Nasional.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu merayu seluruh pengundi berdaftar di Johor khususkan kumpulan anak muda keluar menunaikan tanggungjawab Sabtu ini.

“Makin ramai kita keluar mengundi, makin tinggi peluang Perikatan Nasional menang Pilihan Raya Johor,” katanya ketika berucap pada majlis Pentas Bersama Anak Muda di Bilik Gerakan PN Zon Utara di Pagoh, malam ini.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut melancarkan kempen Jom Balik Kampung bagi menggalakkan anak-anak Johor di perantauan balik mengundi Sabtu ini.

Katanya, pengundi muda juga akan menjadi penentu kepada peningkatan sokongan PN pada PRN yang akan diadakan pada 12 Mac nanti.

Tambah mantan Perdana Menteri itu lagi, kemenangan PN di Johor juga sebagai platform gabungan itu untuk bersiap menghadapi pilihan raya umum (PRU) dan menawan kembali Putrajaya.

“PN akan kembali berkuasa bukan sahaja di Johor, tetapi peringkat negara dalam PRU akan datang,” katanya.

PRN Melaka yang lalu menyaksikan jumlah peratusan pengundian sebanyak 65.85 peratus, iaitu kurang daripada jangkaan yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 70 peratus.

Untuk rekod, undi awal PRN Johor yang berlangsung pada Isnin mencatatkan 87 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi awal yang layak menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi iaitu seramai 22,531.