Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
PRN Johor: Proses pengundian awal tamat -

PRN Johor: Proses pengundian awal tamat

PROSES pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 berakhir 5 petang ini.

Bagaimanapun, terdapat pusat mengundi awal yang telah ditutup pada 12 tengah hari dan 2 petang.

Sebanyak 63 pusat mengundi dibuka bagi proses pengundian awal yang bermula 8 pagi tadi.

Lebih 22,000 anggota pasukan keselamatan terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing layak mengundi hari ini.

Meskipun hujan pada sebelah pagi, ia tidak menghalang anggota keselamatan dan pasangan mereka keluar menunaikan tanggungjawab, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 81 peratus setakat 3 petang tadi. 

Menurut PDRM dalam satu kenyataan proses pengundian awal berkenaan berjalan dengan lancar dan aman.

Antara yang mengundi hari ini ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman yang juga bekas Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Dewan Dato’ Onn, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini.

Selain kemudahan di IPK Johor, 10 Ibu Pejabat Polis Daerah di seluruh negeri serta beberapa pejabat kerajaan turut dijadikan pusat mengundi.

Anggota tentera turut melaksanakan undi awal antaranya di Kem Mahkota, Kluang; Kem Tebrau, Ulu Tiram; Kem Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Batu Pahat dan Kem Rejimen Keempat Artileri Diraja (4RAD), Segamat.

Seramai 239 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN pada PRN kali ini. Hari pengundian PRN Johor ditetapkan Sabtu ini. – BERNAMA