PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin mengancam kewujudan Ukraine sebagai sebuah negara ketika tenteranya berdepan tentangan sengit, selain ekonomi Rusia juga semakin lumpuh akibat sekatan antarabangsa.
“Pihak berkuasa semasa (Ukraine) perlu faham bahawa jika terus melakukan apa yang sedang mereka lakukan, ia meletakkan persoalan pada masa depan Ukraine sebagai sebuah negara.
“Jika ini berlaku, mereka perlu bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.
Sejak pencerobohan Rusia 10 hari lalu, kesan ekonomi dan kemanusiaan akibat perang itu terus meningkat dan memaksa lebih sejuta penduduk meninggalkan Ukraine.
Pihak berkuasa melaporkan ratusan penduduk terbunuh dan Kyiv menggesa negara Barat meningkatkan bantuan ketenteraan ke negara itu termasuk pesawat.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky merayu kepada negara Eropah Timur untuk menyediakan pesawat buatan Rusia, memandangkan rakyat dilatih menerbangkan pesawat itu.
Dalam pada itu, Putin meningkatkan amaran terhadap Nato dengan mengancam peperangan lebih besar jika zon larangan terbang diwujudkan ketika tenteranya meneruskan serangan terhadap bandar utama Ukraine.
Meskipun Zelensky mengkritik Nato kerana menolak melaksanakan zon larangan terbang, Putin menegaskan wujud kesan yang amat buruk dan besar terhadap Eropah dan seluruh dunia jika langkah seumpamanya diambil.
“Sebarang langkah ke arah itu akan dianggap sebagai penyertaan dalam konflik bersenjata oleh negara berkenaan,” kata Putin.
Presiden Rusia itu turut menafikan khabar angin mengatakan Kremlin merancang untuk mengisytiharkan undang-undang tentera di Rusia.
Dalam pada itu, gergasi pembayaran menerusi kad berpusat di Amerika Syarikat (AS), Visa dan Mastercard mengumumkan penggantungan operasi di Rusia manakala pemimpin dunia berikrar untuk bertindak terhadap Rusia. – Agensi
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.