PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa rakyat tidak terbabit dalam pembayaran hutang 1MDB.
Beliau menjelaskan, hutang 1MDB berjumlah RM50 bilion itu dijamin kerajaan namun selepas syarikat berkenaan gagal membayar hutang tersebut, kerajaan pula terpaksa membayarnya.
Sinar Harian melaporkan, Muhyiddin berkata, sewaktu menjadi Perdana Menteri, pasukan petugas khas tersebut juga telah diarah untuk menjejak dan mendapatkan kembali wang dan aset 1MDB yang disorok di negara-negara asing.
“Nasib baiklah Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU14 dan Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri. Saya difahamkan setakat ini lebih RM20 billion wang dan aset 1MDB telah berjaya dirampas semula oleh kerajaan dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah mendapat kembali aset yang akan digunakan untuk membayar sebahagian hutang 1MDB.
“Bayangkan jika (ahli) Pekan (Najib) masih Perdana Menteri. Saya tidak fikir dia akan tubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk mencari wang dan aset 1MDB yang hilang kerana yang menghilangkan wang dan aset itu pun dia.
“Jadi benarlah Pekan ini seorang yang cerdik, cerdik berbohong,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, kerosakan akan melanda negara jika integriti tidak dijadikan pegangan pemimpin yang mentadbir kerajaan.
“Apa lagi kesnya (Najib) yang kesnya terkenal seantero dunia sebagai ‘the biggest scandal of the century’ (skandal terbesar di abad ini) yang melibatkan rantaian penyangak kewangan global atau yang mencetuskan rasa malu kepada negara,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.