[VIDEO] Penduduk Larkin perlukan ruang jana pendapatan, peluang pekerjaan – Zulkifli 

ANGKA 44 dilihat sinonim dengan Zulkifli Bujang. Ketika usianya mencecah 44 tahun, beliau dipilih untuk bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N44 Larkin, Johor.

Bekas wartawan kanan yang cukup berpengalaman ini dipilih mewakili Perikatan Nasional (PN) di Larkin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini.

Selaku individu yang sentiasa bergelumang dalam menyuarakan isu rakyat melalui platform media, Zulkifli cukup memahami kehendak dan suara hati rakyat.

Sepanjang tempoh berkempen selepas hari penamaan calon pada 26 Februari lalu, Zulkifli sudah menemui sebahagian besar daripada kira-kira 70,000 pengundi berdaftar di DUN Larkin.

“Sejak tempoh berkempen di Larkin saya sudah bertemu ramai pengundi, khasnya peniaga di pusat perniagaan dan orang ramai.

“Rata-rata daripada mereka menyuarakan soal keperluan dan bantuan asas. Itu yang sewajarnya diberikan kepada peniaga, itu yang mereka harapkan. Jadi, sebagai kerajaan prihatin di bawah PN, kita sentiasa mengambil berat soal keprihatinan dan kesejahteraan mereka,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

Mengulas lanjut katanya, sepanjang tempoh pandemik akibat Covid-19, kerajaan sudah pun menunaikan tanggungjawab dengan membelanjakan lebih RM580 bilion peruntukkan khas bagi membantu rakyat, termasuklah kepada kumpulan peniaga kecil.

Berikutan itu, katanya kerajaan pusat dan kerajaan negeri harus memikirkan sesuatau bagaimana untuk menambah pendapatan rakyat serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Itu antara perkara dan cabaran yang saya perlu fikirkan di Larkin. Jika dilihat dalam ruang peti undi penduduk Larkin, jumlah besar pengundi berusia antara 30-an hingga awal 50-an. 

“Kumpulan ini juga perlu diberi perhatian khas, dalam aspek kesihatan, kebajikan dan lain-lain berkaitan keperluan asas,” katanya.

Zulkifli adalah antara calon PN yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin kerajaan pusat kerana pernah berkhidmat selaku Setiausaha Akhbar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan kelebihan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya pengundi di Larkin.

“Saya menyeru kepada semua pengundi di Larkin supaya melaksanakan tanggungjawab dan keluar mengundi demi kesejahteraan, demi masa depan dan demi bangsa Johor,” katanya.

Ketika ini, dianggarkan terdapat lebih 20,000 pengundi kali pertama atau pengundi baru yang layak mengundi pada PRN Johor, selepas Undi-18 dilaksanakan buat julung kalinya selepas tidak sempat disenaraikan pada PRN Melaka, tahun lalu.

Undi-18 merujuk kepada kelompok pengundi muda berusia 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik dalam senarai daftar pemilih.

Kerusi DUN Larkin menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon PN, Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang). – SB