DUN Endau: Masalah pengairan sawah padi antara tumpuan Alwiyah

0
365

ISU masalah pengairan yang dialami oleh petani-petani sawah padi di Kampung Semaloi yang tidak berkesudahan sejak beberapa tahun lalu membuatkan Calon Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib tidak mahu lagi memanjangkan kesusahan mereka.

Bercakap kepada SatuBerita, Alwiyah memaklumkan kebanyakkan sawah padi yang terdapat di Kampung Semaloi tidak mendapat pengairan yang secukupnya, menyebabkan pertumbuhan padi agak terbantut sehingga petani-petani di kawasan berkenaan terpaksa menanggung rugi yang banyak.

“Ada beberapa kawasan sawah padi di bahagian belakang tidak mendapat air daripada empangan dengan mencukupi kerana air sudah diserap oleh padi di bahagian depan. Secara tidak langsung, petani terjejas dari segi pendapatan dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Alwiyah yang merupakan penyandang Ahli DUN Endau sejak 2018 itu berkata, beliau sentiasa menyuarakan keluhan petani-petani di kawasan berkenaan di persidangan DUN, namun permasalahan itu masih tidak mendapat perhatian secukupnya dari pihak bertanggungjawab.

“Isu ini bukan baharu, sudah beberapa tahun tidak selesai. Dahulu pun sudah ada ura-ura untuk sawah padi di kampung Semaloi itu diletakkan di bawah seliaan AIDA, namun sehingga kini tiada khabar. Malah, saya sentiasa menyuarakan isu ini di peringkat sidang Dewan Undangan Negeri.

“Kalaulah sawah padi di Kampung Semaloi ini boleh mendapat sistem perairan yang lebih lancar, kuranglah sikit beban petani-petani disini. Mereka sangat mengharapkan perkara ini dua kali setahun pun sudah memadai. Lebih kesian kepada yang sawah mereka duduk di bahagian bawah, air dah tak dapat,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, Alwiyah turut menyorotkan perhatian terhadap aspirasi pembangunan nelayan apabila nelayan di pantai DUN berkenaan mengalami kesukaran akibat paras muara sungai yang agak cetek.

“Pantai di Endau ini, perairannya agak cetek. Jadi, bot-bot nelayan tidak dapat masuk rapat ke pantai, mereka kena tunggu air pasang. Maka amat penting untuk kita dalamkan kawasan tersebut.

Mengulas berkenaan pengundi baharu seramai kira-kira 8,000 orang di DUN Endau, beliau sedang dalam persiapan untuk mengadakan satu majlis perjumpaan santai bersama-sama golongan belia di DUN berkenaan bagi mendengar cadangan dan keperluan mereka.

“Kita mengharapkan mereka pulang untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Perikatan Nasional akan memberikan perhatian yang penuh kepada suara-suara dan kehendak mereka. Antara kehendak mereka adalah seperti peluang pekerjaan di halaman mereka sendiri. Kita akan berikan perhatian.

“Saya yakin mereka juga tidak akan suka dengan elemen-elemen buruk seperti rasuah, pilih kasih, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya. Itulah Perikatan Nasional mahu tonjolkan dalam menawarkan tadbir urus yang baik serta berintegriti selain menjaga kebajikan anak-anak muda ini,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, beliau sentiasa berpegang kepada cogan kata ‘Sejahtera Endau’ yang merangkumi kesejateraan dalam semua aspek seperti kerohanian, kebajikan serta pembangunan.

“Ini adalah untuk mensejahterakan Endau secara menyeluruh tanpa sesiapa pun yang dipinggir atau disisihkan,” ujarnya.–SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here