BUKAN mudah menggalas tanggungjawab sebagai pengarah apatah lagi terpaksa menyambung kerja-kerja yang ditinggalkan oleh Allahyarham Mamat Khalid.
Tapi itu juga yang terpaksa dilalui oleh Amen Khalid yang juga merupakan anak Allahyarham yang kini menyambung legasi yang ditinggalkan oleh pengarah berkenaan.

Amen yang menggalas tanggungjawab menyambung kerja-kerja pengarahan karya terakhir Mamat berjudul Kampong Pisang Berbuah Dua Kali mengakui ada kalanya terkesan sepanjang menyudahkan kerja berkenaan.
“Ada kalanya saya seperti mendengar suara Allahyarham bila berada di set penggambaran. Bila perkara itu berlaku, air mata pun tumpah.
“Dulu bila buat kerja suntingan, dia akan berada di belakang memerhati. Sampai sekarang saya masih rasa seperti dia ada bersama dan membuatkan saya sebak,” katanya.
Namun, berpegang kepada janji yang sudah dimeterai, Amen akan kembali mengingatkan pesan yang dititipkan Mamat sebelum ini.
“Dia cakap jangan main-main buat kerja, kena serius dan pegang tanggungjawab baik-baik,” katanya sayu.
Bagaimanapun, dia gembira apabila mendapat sokongan ramai termasuklah ahli keluarga yang lain dan rakan-rakan artis yang banyak membantunya untuk menyudahkan naskhah berkenaan.
Ibunya juga sanggup turun ke lokasi penggambaran setiap hari demi memastikan segala kerja penggambaran berlangsung dengan baik dan dalam masa yang sama memberikan semangat kepadanya.
“Bagi saya Mamat Khalid hanya ada satu saja di dunia. Sentuhan saya tidak akan sama seperti dia.
“Apabila diberi tanggungjawab saya perlu siapkan walaupun ia agak berat untuk saya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Berharap naskhah Kampung Pisang Berbuah kali mendapat sambutan baik daripada peminat, dia positif menantikan maklum balas daripada peminat.
Mula ditayangkan 3 Mac melalui saluran Astro First, filem ini masih mengekalkan pelakon lama seperti Kazar Saisi, Bell Ngasri, Aziz M Osman, Mat London, Joey Daud dan Ahmad Yassin.
Ia turut menampilkan watak baru iaitu Cik Mek lakonan Datin Eina Azman dan Azman Naim yang popular dengan video parodi membawa watak Gerhana iaitu adik kepada Cik Purnama.
Sebagai info, Mamat menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, Perak pada 24 Oktober tahun lalu. Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima anak. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.