PERIKATAN Nasional (PN) akan memperkasakan penglibatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk memberi input mengenai pembangunan sektor pelancongan seperti mana ikrar parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, selain meneruskan pelaksanaan Projek Kembara Wangsa yang terhenti ketika ini.
Calon PN bagi kerusi Johor Lama, Mohamad Alias Rasman berkata, sebagai anak jati Johor Lama, beliau dapat melihat betapa banyak dan bernilainya produk warisan sejarah serta khazanah alam di situ yang boleh diketengahkan kepada pengunjung, sekali gus akan menjana pendapatan serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Justeru, katanya sokongan pengundi kepada calon PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini adalah sangat penting untuk membolehkan Projek Kembara Wangsa disambung semula dengan lebih giat berdasarkan input lebih tepat serta terperinci yang disediakan secara profesional oleh UTM yang mendapat kerjasama sebuah universiti di United Kingdom.
“Sungai Johor yang mengalir pada jarak lebih 60 kilometer dalam Daerah Kota Tinggi adalah asas kepada kebanyakan produk pelancongan khususnya melibatkan keunikan khazanah alam serta warisan sejarah di DUN Johor Lama.
“Di Sungai Johor, terdapat pelbagai produk seperti kunang-kunang, udang galah serta pelbagai spesies ikan air tawar termasuk baung di sebelah hulu manakala spesies ikan laut di hilir yang semuanya menjadi tumpuan kaki pancing. Jadi kemudaha penginapan, jeti dan tempat makan akan disusun semula supaya lebih ramai kaki pancing datang ke sini,” katanya.
Katanya, bagi produk berasaskan warisan sejarah, di sebelah kiri tebing Sungai Johor menghala ke kuala memang terdapat banyak tinggalan sejarah dan makam lama.

Antaranya Makam Laksamana Bentan, Makam Sultan Mahmud, Makam Cik Siti Aminah (di Tembioh) dan Makam Tiga Beranak (Bukit Seluyut). Warisan sejarah turut ada di Kampung Johor dan Teluk Sengat.
Justeru, katanya aspirasi PN untuk mengutamakan kerancakan sektor pelancongan bagi mempercepatkan proses pemulihan ekonomi Johor, turut menepati slogan Daerah Kota Tinggi sebagai Daerah Pelancongan Bersejarah.
Sementara itu, katanya dari aspek politik, PN yakin mampu mempertahankan kerusi DUN Johor Lama berdasarkan sokongan padu pengundi baharu dan Undi 18 selain perubahan ketara pengundi sedia yang semakin menerima aspirasi pejuangan politik berintegriti, bersih, cekap dan prihati yang didokong Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Untuk rekod, ada enam kawasan Felda di DUN Johor Lama iaitu Felda Ait Tawar 2, Felda Air Tawar 3, Felda Pasak, Felda Lok Heng Selatan, Felda Lok Heng Barat dan Felda Lok Heng Timur.
Justeru, komuniti Felda di DUN Johor Lama juga berpeluang menikmati kehidupan lebih sejahtera dan menikmati pendapatan lebih baik serta peluang pekerjaan baharu menerusi program yang disusun khusus untuk mereka apabila PN menerajui kerajaan negeri selepas 12 Mac ini.
Ini termasuk pembinaan rumah generasi kedua Felda, pemulihan projek perumahan generasi baharu Felda yang terbengkalai serta peluang menyertai skim yang berkaitan perusahan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta usaha pendigitalan bagi perniagaan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.