Putin tandatangani dekri langkah-langkah jamin kestabilan kewangan

PRESIDEN Rusia, Vladimir Putin menandatangani dekri yang memperkenalkan langkah-langkah ekonomi sementara bagi memastikan kestabilan kewangan negara, umum Kremlin pada Selasa.

Langkah-langkah itu akan dilaksana sebagai tindak balas terhadap sekatan anti-Rusia oleh Amerika Syarikat, negara lain dan organisasi antarabangsa, menurut dekri itu.

Antara langkah itu, Rusia akan mengharamkan aliran keluar mata wang asing dalam jumlah yang melebihi nilai bersamaan US$10,000 mulai Rabu, lapor Xinhua.

Berkuatkuasa Rabu, sekatan berhubung urus niaga sekuriti, hartanah dan pinjaman akan dikenakan ke atas warga asing yang dikaitkan dengan negara yang telah mengambil tindakan anti-Rusia.

Pada Isnin, Putin juga menandatangani dekri yang memperkenalkan “langkah ekonomi khas” untuk mengurangkan kesan gelombang baharu sekatan Barat di tengah-tengah operasi ketenteraan khas Rusia di Ukraine.

Sementara itu di Ukraine, lima orang telah terbunuh dalam serangan udara Rusia di menara TV Kyiv, kata Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine pada Selasa, lapor Xinhua.

Serangan di Menara TV Kyiv mengakibatkan, “lima orang terbunuh, lima lagi cedera”, menurut perkhidmatan kecemasan di Facebook.

Kementerian Dalam Negeri negara itu berkata, saluran TV itu tidak dapat beroperasi berikutan serangan berkenaan. – Bernama