SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membekukan aset milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd (ASTRO), Datuk Rohana Rozhan, sama ada di dalam maupun di luar negara,
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata tindakan itu bagi membantu siasatan dakwaan bekas eksekutif Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner, bahawa dia diperas ugut wanita itu dalam pembelian sebuah rumah di London menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Aset yang dibekukan di luar negara itu bernilai kira-kira AS$10 juta (RM41.8 juta), dipercayai rumah yang dibeli Leissner kepada Rohana di London.
Katanya, Rohana disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Amla).
Beliau berkata, SPRM juga akan meneruskan usaha mengesan dan membantu mengembalikan wang milik negara yang ada kaitan dengan kes berkenaan.
Azam turut menjelaskan lebih ramai individu akan dipanggil bagi membantu siasatan dakwaan melibatkan Rohana.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan jika pihaknya akan mengambil keterangan Leissner.
“Buat masa ini saya tidak boleh kongsikan nama-nama lain yang terbabit.
“Perkara lain dalam hal ini ialah kerjasama dengan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk kita mendapatkan apa-apa keterangan daripada pihak di AS,” katanya di sini, hari ini.
Azam berkata, kerjasama antara Pejabat Peguam Negara (AGC) dan pihak di Amerika Syarikat (AS) diperlukan bagi perkara itu.
“Tim Leissner masih beri keterangan di AS, saya rasa kurang enak kalau saya ulas tentang keterangannya. Jadi kita akan dapatkan keterangan lanjut dari pihak AS,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.