DRAMA bersiri Squid Games meneruskan kecemerlangan apabila menyapu bersih tiga kategori utama menerusi SAG Awards 2022 pada Ahad.
Anugerah yang berlangsung di The Barker Hangar, Santa Monica, Amerika Syarikat itu memberikan kejutan memandangkan jarang sekali mengangkat drama dari Asia.
Menariknya, Squid Games menyapu kategori Pelakon Lelaki Terbaik Televisyen menerusi kemenangan Lee Jung Jae dan Jung Ho Yeon pula memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik Televisyen.
Squid Games juga membawa pulang kategori Esemble Terbaik Televisyen mengelahkan beberapa drama besar yang lain.
Paling membanggakan, ini merupakan kali pertama drama dari Korea Selatan diangkat memandangkan selama ini SAG Awards sering mengangkat produk dari Hollywood seperti kebiasaan.
“Terima kasih kepada semua. Ini memang hal yang besar terjadi kepada saya. Saya sudah menulis sesuatu tapi sekarang tak boleh membacanya.
“Terima kasih buat semua semua penonton dari seluruh dunia yang suka dengan Squid Games,” kata Lee Jung Jae gementar.
Dalam kategori berkenaan, Lee Jung Jae mengalahkan Brian Cox (Succession), Billy Crudup (The Morning Show), Kieran Culkin (Succession) dan Jeremy Strong (Succession).
Manakala, Jung Ho Yeon pula patut berbangga apabila mengalahkan nama-nama besar seperti Jennifer Aniston yang tercalon menerusi The Morning Show.
Selain itu calon lain kategori berkenaan terdiri daripada Elisabeth Moss (The Handmaid’s Tale), Sarah Snook (Succession) dan Reese Witherspoon (The Morning Show).
“Selama ini saya hanya melihat anda semua dan selalu bermimpi agar satu hari nanti boleh menjadi pelakon.
“Terima kasih kepada semua kerana membuka pintu untuk saya terutama kru Squid Games,” katanya sebaik sahaja menerima trofi.
Selain itu beberapa nama besar dunia yang lain turut memenangi anugerah kali ini termasuklah Will Smith (King Richard) menerusi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Filem dan Jessica Chastain (The Eyes Of Tammy) untuk kategori wanita.
Turut ‘sangkut’ termasuklah Kate Winslet, Ariana DeBosa, Ted Lasso, Jean Smart, Jason Sudeikis dan Michael Keaton yang memenangi beberapa kategori lain.
Untuk rekod, SAG Awards mengiktiraf naskhah berkualiti dari seluruh dunia sejak 1995.
Sepanjang penganjuran, ia banyak memberikan pengiktirafan kepada nama-nama besar dalam bidang filem dan drama TV. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.