CALON Perikatan Nasional di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama, Mohd Alias Rasman menawarkan politik khidmat meliputi aspek pendidikan, ekonomi dan sosial kepada penduduk termasuk 32,658 pengundi di DUN berkenaan.
Antara lain, peguam berusia 31 tahun ini menampilkan idea-idea baharu termasuk skop pendidikan, khususnya pelaksanaan program memupuk kesedaran dan mencelikkan masyarakat terhadap soal hak dan perlindungan yang diberikan oleh undang-undang.
Katanya, DUN Johor Lama antaranya merangkumi enam kawasan Felda iaitu Air Tawar 2, Pasak, Air Tawar 3, Lok Heng Selatan, Lok Heng Barat dan Lok Heng Timur selain kampung tradisi dan taman perumahan bandar.
Baca berita berkaitan: Khairul Faizi mahu bela nasib petani, nelayan Senggarang
“Jadi, saya nampak isu-isu di Felda kebanyakan berkaitan dengan soal pewarisan, tanah serta undang-undang.
“Jadi, andai saya diberi kepercayaan untuk menjadi wakil rakyat di sini, saya merancang untuk melaksanakan modul pendidikan supaya warga DUN Johor Lama celik kepada undang-undang,” katanya.
Menurut Alias, beliau juga akan mengetengahkan pembangunan ekonomi khususnya terhadap golongan muda generasi kedua dan ketiga di Felda serta orang muda lain di DUN berkenaan.
“Kita akan munculkan peluang-peluang pekerjaan supaya mereka boleh bergantung kepada ekonomi dalam Felda itu sendiri khususnya menerusi kegiatan perusahaan mikro dan kecil (PMK) termasuk penghasilan makanan.
“Pada masa sama, saya mahu mewujudkan ekonomi di kawasan sekitar bandar Kota Tinggi supaya warga Felda, penduduk dari kampung tradisi dan taman perumahan boleh bekerja di bandar ini,” ujarnya.
Baca berita berkaitan: Isu banjir, kesesakan lalu lintas jadi fokus Wee Yet bantu rakyat di Penggaram
Dalam pada itu, Alias berhasrat untuk membangunkan fasiliti e-platform kepada pengusaha PMK dengan menangani masalah jaringan internet selain mengadakan kelas pendedahan kaedah serta penguasaan pemasaran dalam talian dan media sosial.
Alias turut meletakkan perhatian terhadap kegiatan pelancongan terutamanya di sekitar Kampung Johor Lama yang kaya dengan sejarah, serta Teluk Sengat yang merupakan tumpuan pemancing untuk beriadah di rumah rakit di perairan Sungai Johor.

Dalam aspek sosial pula, beliau berhasrat untuk menjadikan Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Johor Lama sebagai satu wadah yang menawarkan program kebajikan dan keagamaan seperti sesi tuisyen percuma, kelas agama dan mengaji berjadual serta menyediakan makanan percuma berkala.
“Ini saya sebutkan ini sebagai politik khidmat,” katanya.
Bagi Alias, beliau berpegang kepada falsafah, tiada yang lama maka tiada yang baharu di mana generasi baharu melengkapi yang lama, manakala generasi lama mendidik serta memimpin generasi baharu.
Latar belakang beliau yang merupakan cucu kepad peneroka Felda Air Tawar 2 sememangnya cukup sinonim dengan kehidupan, cabaran serta permasalahan masyarakat peneroka.
Beliau mula berjinak-jinak dalam arena politik pada 2008 dengan terdedah kepada kegiatan pelajar ketika menuntut di Kolej Islam Kelang.
Kini, Alias merupakan Ketua Penerangan Aramada Bahagian Kota Tinggi.—SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.