CALON DAP kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung terpaksa bersabar apabila dileter oleh seorang penjaja ketika berkempen di kawasan itu baru-baru ini.
Video mengenai kejadian tersebut tular baru-baru ini.
Malaysiakini melaporkan, dalam klip video itu, penjaja yang menjual buah-buahan itu berdepan dengan Cai Tung dan memberitahu bahawa dia suka DAP tetapi tidak akan menyokong Cai Tung selepas mengadu bahawa wakil DAP itu tidak menyelesaikan masalah jalan raya.
“Saya suka DAP tetapi saya tidak akan menyokong dia, dia tidak boleh buat kerja, saya telah meminta anda untuk perbaiki simpang jalan di sana kerana terdapat banyak kemalangan tetapi anda tidak melakukannya untuk saya,” katanya.
Cai Tung kemudian berkata dia telah berhubung dengan pihak berkuasa majlis tempatan tetapi penjaja itu terus berleter dalam campuran dialek Teo Chew dan Mandarin.
“Saya telah meminta anda untuk melakukannya satu hingga dua tahun yang lalu tetapi semua yang anda katakan adalah ‘ya, ya, ya’,” katanya.
Penjaja itu kemudiannya berpaling kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menemani Cai Tung di Pasar Taman Johor Jaya dan memberitahu Lim agar menasihati calon mereka itu.
Cai Tung berkata pejabatnya menerima aduan ketika Pakatan Harapan (PH) masih menerajui kerajaan negeri.
Dia berkata Majlis Bandaraya Johor Bahru, yang bertindak atas permintaan pejabatnya, pernah menaik taraf simpang yang menjadi pertikaian itu.
“Pada masa itu, majlis bandar raya letak kotak kuning di persimpangan dan juga membina ‘speed bump’ tetapi penjaja itu mahu satu lagi ‘speed bump’ di seberang jalan.
“Jadi dia tidak berpuas hati dengan bagaimana majlis bandar raya mengendalikannya,” katanya.
Cai Tung berkata, majlis bandar raya dalam proses memasang lampu isyarat di persimpangan itu.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.