
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar program penstabilan dan penyeragaman harga dilaksanakan secara berterusan bagi mengelak rakyat terus terhimpit dengan kos sara hidup.
Seri Paduka juga menitahkan supaya kerajaan terus melaksanakan program pengedaran barangan dan penguatkuasaan bagi memastikan kos barangan keperluan harian tidak membebankan rakyat.
“Beta mengalu-alukan inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia dan Program Jualan Malaysia bagi menyokong pemulihan ekonomi domestik. Program ini berupaya menawarkan sumber pekerjaan dan pendapatan baharu melalui pemerkasaan industri francais dan jualan langsung.
“Selain itu, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara membolehkan rakyat beta untuk mendapatkan barangan keperluan pada harga yang berpatutan. Usaha ini juga selaras dengan aspirasi untuk menjaga kebajikan rakyat, membantu mengurangkan kos sara hidup dan meningkatkan taraf hidup rakyat beta,” titah Seri Paduka pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kelima Parlimen ke-14, pada Isnin.
Seri Paduka turut menitahkan kerajaan agar menumpukan usaha membasmi miskin tegar menjelang 2025 melalui tindakan bersepadu pelbagai pendekatan.
Baginda menitahkan supaya tumpuan diberikan kepada penyediaan infrastruktur luar bandar yang lebih baik dan berkualiti bagi menjamin kesejahteraan masyarakat di kawasan tersebut.
Ketidakseimbangan pembangunan dan ekonomi antara kelas pendapatan, wilayah dan negeri serta antara etnik mesti dikurangkan bagi memastikan kemakmuran negara dinikmati semua secara adil, titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah mahu penyediaan tempat tinggal yang kondusif diperluas melalui bantuan bina baharu serta pembaikan rumah yang uzur buat golongan miskin dan kurang berkemampuan selain mengutamakan akses kepada perumahan melalui inisiatif lebih mesra pendapatan.
Mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Seri Paduka bertitah Jawatankuasa Khas Pemantauan RMK12 perlu mengawasi pelaksanaan dan pencapaian rancangan hala tuju negara sebaik-baiknya bagi mencapai sasaran hasil dan setersunya memenuhi keperluan sosioekonomi.
Al-Sultan Abdullah bertitah, komitmen kerajaan mengekalkan pembangunan sebagai agenda nasional terbukti dengan penyediaan peruntukan pembangunan bagi Rolling Plan Kedua RMK-12 berjumlah RM75.6 bilion bagi pelaksanaan 6,749 program atau projek.
“Beta menyeru agar semua program dan projek yang bakal dilaksanakan tersebut hendaklah siap mengikut jadual dan mematuhi kualiti yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat kepada rakyat beta,” titah Yang di-Pertuan Agong. – Bernama