Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
'Abang Viva' ke Terengganu guna kereta baharu -

‘Abang Viva’ ke Terengganu guna kereta baharu

MISI menyelamatkan penduduk Terengganu yang terjejas banjir pada kali ini tidak lagi seperti biasa buat sukalerawan Azwan Omar atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva.’

Jejaka berusia 30 tahun itu tidak lagi menggunakan Perodua Viva sebaliknya kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dihadiahkan oleh seorang individu bagi memudahkan urusan kebajikan beliau.

“Banjir di Terengganu merupakan misi pertama saya dengan kereta ini. Dengan kereta baharu ini, saya rasa lebih bersemangat kerana banyak tempat saya boleh masuk.

“Kalau Viva sebelum ini, banyak tempat tidak boleh (masuk),” katanya kepada pemberita di Kampung Belukar Bukit di Kuala Berang, Terengganu hari ini.

Azwan bertolak dari Melaka pad kira-kira 9 malam semalam dan tiba di Kampung Pengkalan Ajal di Hulu Terengganu yang terjejas teruk akibat banjir pada 4.50 pagi tadi.

Katanya sepanjang misi bantuan di Terengganu, beliau hanya akan tidur di dalam kereta seperti sebelum ini.

Misi bantuan kali ini juga agak berlainan kerana Azwan tidak lagi bersendirian sebaliknya ditemani empat rakan yang memandu tiga kenderaan pacuan empat roda serta membawa tiga bot.

Azwan berkata, keadaan beliau kini yang lebih dikenali masyarakat turut memudahkan urusan kerana ramai yang memberikan kerjasama termasuk membawanya ke lokasi banjir terutama di kawasan pedalaman. 

“Rasa segan itu ada tetapi lebih bersemangat kerana saya senang dapat maklumat dan minta tolong orang kampung,” katanya yang sering menerima tepukan dan sorakan mangsa banjir yang diselamatkan serta penduduk setempat.

Beliau berkata, setelah keadaan banjir di Terengganu reda, beliau akan meneruskan misi ke Kelantan sekiranya keadaan di sana memerlukan bantuannya.

Kisah Azwan tular di media sosial apabila sanggup datang ke Selangor dari Melaka untuk menyelamatkan mangsa banjir pada Disember lepas dengan hanya berbekalkan wang RM50 bagi mengisi minyak kereta dan membeli makanan. – BERNAMA