24,466 kes positif semalam, 40 kematian baharu

SEBANYAK 24,466 kes positif Covid-19 direkodkan di seluruh negara pada Ahad menjadikan jumlah kumulatif jangkitan virus berkenaan kini mencecah 3,419.636 kes.

Angka berkenaan menurun sebanyak 2,833 kes berbanding jumlah kes positif harian sebanyak 27,299 kes pada Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah jangkitan semalam, sebanyak 24,361 kes atau 99.57 peratus merupakan kategori satu dan dua.

Manakala 105 kes atau 0.43 peratus lagi terdiri dairpada pesakit kategori tiga, empat dan lima.

“Daripada 105 kes kategori tiga, empat dan lima, 25 kes (23.81 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 56 kes (53.33 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 24 kes (22.86 peratus) telah menerima dos penggalak.

“Seterusnya, 53 kes (50.48 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas dan 36 kes (34.29 peratus) mempunyai komorbid,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 22,380 kes sembuh dilaporkan dengan jumlah kes sembuh daripada Covid-19 sebanyak 3,085,940 kes serta 353 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala, 193 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 40 kematian baharu akibat wabak berkenaan setakat tengah malam tadi menjadikan jumlah kumulatif kematian kini 32,674 orang.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 17 daripada kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu ekoran proses pengesahan yang mengambil masa.–SB